Santiago: Pendedahan eksploitasi pekerja asing ‘menyedihkan’

santiago

PETALING JAYA: Pendedahan terbaharu sebuah akhbar United Kingdom mengenai eksploitasi pekerja asing di Malaysia tidak mengejutkan kerana amalan sedemikian pernah dibangkitkan 2 tahun lalu, kata wakil rakyat DAP, Charles Santiago.

Ahli Parlimen Klang itu memetik laporan Verite, sebuah organisasi tidak berkeuntungan antarabangsa yang pakar dalam isu buruh, pada 2014 mendedahkan kewujudan buruh paksa dalam industri elektronik di Malaysia.

“Selepas 2 tahun, masalah itu belum diselesaikan,” katanya kepada FMT.

The Guardian baru-baru ini menyiarkan kisah pekerja asing di kilang Samsung dan Panasonic di Malaysia yang mendakwa pasport me reka dirampas dan tidak dibenarkan rehat, termasuk ke tandas, semata-mata untuk mencari wang secukupnyabagi membayar kos pengambilan mereka bekerja di negara ini.

Menurut The Guardian, kedua-dua syarikat itu sudah melancarkan siasatan ke atas dakwaan terbabit kerana mereka tidak membenarkan pasport dirampas atau mengenakan bayaran terhadap pengambilan pekerja asing.

Santiago ketika mengulas pendedahan The Guardian itu berkata, pihak berkuasa hanya perlu melakukan tugas mereka dan menguatkuasakan undang-undang untuk memastikan eksploitasi tidak berlaku.

“Kerajaan hanya perlu menahan mereka yang mengeksploitasi pekerja asing dan mengambil tindakan terhadap mereka berdasarkan undang-undang.

“Jika ini tidak berlaku, orang akan terus menzalimi pekerja asing.”

Beliau berkata, syarikat besar perlu memastikan pembekal buruh mematuhi undang-undang tempatan dan piawaian teras Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Ini bermakna anda perlu memberi pekerja asing berehat sekurang-kurangnya sehari setiap minggu dan anda tidak boleh merampas pasport mereka.”

Santiago berkata, lebih 100 syarikat pembekal buruh dibenarkan membawa masuk pekerja asing ke Malaysia, tetapi Kementerian Dalam Negeri memaklumkan ia sedang mengurangkan jumlah itu.

“Kami juga perlu mengehadkan lagi bilangan syarikat yang dibenarkan membawa masuk pekerja asing untuk memastikan pematuhan standard lebih baik dan memudahkan pemantauan.”

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N Gopal Kishnam berkata, pihaknya sudah membangkitkan isu buruh paksa berkali-kali, namun ia tetap menjadi masalah.

“Ia benar-benar sedih dan mengecewakan, ‘perhambaan’ masih wujud. Hak asasi pekerja perlu dilindungi.”

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu menguatkuasakan undang-undang dan terdapat undang-undang mencukupi untuk menangani isu itu.

“Jika Jabatan Buruh bertindak tegas terhadap beberapa syarikat pembekal buruh, yang lain akan takut melanggar undang-undang.”

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/11/21/samsung-panasonic-siasat-dakwaan-eksploitasi-pekerja-di-malaysia/