Bersih tak pernah terima dana Soros, kata Maria Chin

marina_talk

KUALA LUMPUR: Maria Chin Abdullah berkata Bersih 2.0 tidak pernah menerima dana daripada Open Society Foundation yang dikaitkan dengan hartawan Amerika Syarikat, George Soros.

Pengerusi Bersih 2.0 itu berkata pertubuhan itu tidak pernah menerima sebarang dana, malah tidak pernah menyorokkan sumber kewangan yang diterima.

“Setiap hari saya kena soal siasat. tapi bukan soal siasat. Ia hanyalah mereka ulang soalan supaya saya akan mengakui apa yang saya tidak pernah lakukan. Yang pertama Bersih tidak mengambil duit Soros. Satu sen pun kita tidak pernah ambil.

“Kedua, akaun Bersih dipamerkan dalam laman web dan mereka boleh periksa, tetapi mereka tidak percaya kerana ingat kita ada RM3.2 bilion,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 300 penyokong di Dataran Merdeka, hari ini.

marina_talk131

Maria, antara 14 suspek ditahan pada 18 November lalu, beberapa jam menjelang perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur, selama 10 hari di lokasi tidak diketahui.

Polis kemudiannya mengumumkan beliau ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), yang biasanya digunakan untuk menangani kesalahan berkaitan keganasan.

Polis mendakwa mereka menemui dokumen yang menyebabkan mereka percaya Maria mungkin terbabit dalam aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen di Malaysia, kesalahan di bawah Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan.

Maria berkata selepas dibebaskan setelah ditahan selama 10 hari, beliau menjangkakan akan ditahan sekali lagi dalam masa terdekat tetapi atas akta berbeza pula.

“Saya harap kita akan teruskan perjuangan kita, apa yang terjadi lepas mereka bebaskan saya dari Sosma, mereka ada lagi satu siasatan.

“Mereka (polis) akan teruskan siasatan ini. Apa yang terjadi kepada saya nanti, saya belum tahu. Saya harap apa yang terjadi kepada saya, kita akan teruskan perjuangan dan hapuskan Sosma,” katanya.

Maria Chin bebas selepas ditahan 10 hari