Exco: Insiden gangguan bukti integriti penguat kuasa wanita

Daroyah-Alwi_mbsa_600

SHAH ALAM: Dr Daroyah Alwi berkata insiden penguat kuasa wanita Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang diganggu sepasang suami isteri ketika bertugas baru-baru ini tidak akan merendahkan kemampuan wanita.

Malah, exco Selangor itu berkata insiden yang menjadi viral di media sosial itu membuktikan wanita mampu mengekalkan integriti dan komitmen dalam menjalankan amanah diberikan.

“Daripada segi integriti, komitmen dalam menjalankan tugasan, memang tidak ada masalah. Tetapi kalau diganggu, dan lihat pula siapa yang mengganggu.

“Ini yang membuatkan wanita dilihat lemah. Kalau tidak ada gangguan, saya percaya kita mampu lakukan kerja sebaik lelaki.

“Perempuan walau macam mana pun, daripada segi fizikal dan keberanian masih perlukan lelaki untuk membantu dalam keadaan seperti ini,” katanya ketika ditemui FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian pada 24 November lalu di mana sepasang suami isteri mengasari seorang penguat kuasa MBSA wanita di Jalan BRP 6/12, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.

Pasangan itu sudah didakwa dan dikenakan hukuman penjara 14 hari dan denda RM3,000 di atas perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab itu.

Daroyah berkata pihaknya akan bertemu dengan penguat kuasa berkenaan untuk memberikan sokongan moral dan solidariti atas sikapnya yang tenang dan berdisiplin dalam menangani situasi berkenaan.

“Sepatutnya saya menemui pegawai penguat kuasa itu pada Sabtu lalu untuk memberikan sokongan moral sebagai penjawat awam wanita yang dikasari. Tetapi mungkin trauma menyebabkan dia pulang ke kampungnya.

“Saya akan maklumkan kepada MBSA untuk bertemu dengannya,” katanya.

Adun Sementa itu berkata masyarakat perlu memberikan kerjasama kepada penjawat awam sewaktu mereka bertugas.

“Masyarakat perlu memberikan kerjasama dan jangan ganggu penjawat awam sedang bertugas. Mereka hanya menjalankan tugasan saja. Kalau kena saman, kenalah terima.

“Kalau kita lihat kes saman kereta, mereka suka meletakkan kenderaan di kawasan yang paling dekat dengan pintu utama pusat membeli belah. Jadi, inilah antara punca-punca kenapa selalu kena saman dari penguatkuasa,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa sedang mengeluarkan saman kepada sebuah kenderaan yang gagal mempamerkan kupon bayaran tempat letak kereta.

Selepas saman dikeluarkan, seorang wanita dipercayai pemilik kereta itu mula memarahi dan menarik baju penguat kuasa MBSA itu, disusuli seorang lelaki tampil membantu wanita terbabit dengan cuba mengambil gambar dan menghalang mangsa meninggalkan tempat kejadian.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/11/25/suami-isteri-dipenjara-14-hari-kasari-penguat-kuasa-mbsa/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/11/25/selangor-kutuk-suami-isteri-buli-pegawai-mbsa/