Saman fitnah Rahman Dahlan terhadap Malaysiakini selesai

Rahman-Dahlan_malaysiakini_law_600

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini menyelesaikan secara baik tuntutan samannya terhadap pemilik portal Malaysiakini dan wartawannya kerana memetik kenyataannya di luar konteks dalam satu artikel dan video.

Kes saman itu adalah berhubung artikel dan video bertajuk ‘Minister’s go-back-kampung notion draws contempt’ yang disiarkan portal berita berkenaan pada 6 November 2015.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata proses mediasi di antara kedua-dua pihak di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan berjaya.

Penghakiman persetujuan direkodkan dalam kamar pesuruhjaya yang turut dihadiri Rahman dan peguamnya Datuk M Reza Hassan serta Ketua Editor Malaysiakini, Steven Gan dan peguamnya K Shanmuga.

Reza berkata antara terma persetujuan penyelesaian kes itu ialah Mkini Dotcom Sdn Bhd selaku defendan akan menyiarkan kenyataan penjelasan dalam portalnya dalam tempoh masa terdekat.

Rahman dalam writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 13 Januari lalu menyatakan artikel dan video itu berbeza dengan kenyataan asalnya ketika sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia, pada 3 November 2015.

Beliau yang pada ketika itu menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan berkata artikel dan video itu manipulasi terhadap kenyataannya dan bertujuan menjatuhkan maruahnya.