4 maut dalam kemalangan di NKVE

kemalangan_nkve_0

KUALA LUMPUR: Empat maut, seorang cedera parah manakala seorang terselamat dalam kemalangan di KM16.8 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dekat susur masuk ke Tol Damansara, awal hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, dalam kejadian kira-kira 1.50 pagi itu, semua mangsa menaiki kenderaan jenis Toyota Innova yang dalam perjalanan menuju ke arah utara bertembung dengan lori 10 tan yang terbabas dari arah bertentangan.

Beliau ketika dihubungi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, namun pemandu lori tidak dapat dikesan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori itu hilang kawalan apabila cuba mengelak kenderaan di hadapannya yang mengalami tayar pancit sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar besi penghadang jalan serta kenderaan mangsa.

Mereka yang maut dikenali sebagai Kun Ell Yin, 32; Kum Hok Wan, 36; Hong Ching Guan, 49, dan pemandu lelaki berusia 52 tahun yang belum dikenal pasti identiti.

Mangsa yang cedera parah ialah Ho Lai Lai, 41, manakala identiti penumpang yang terselamat belum diperoleh.

Mangsa yang maut dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, manakala mangsa cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

Katanya, bomba menerima panggilan pada jam 1.58 pagi dan mengerahkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara ke lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.