Siapa kini makan ‘dedak’, soal Zahid kepada Dr Mahathir

zahid-mahathir-1

KUALA LUMPUR: Pemangku Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menempelak Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menyoal bekas perdana menteri itu, siapa kini yang menerima rasuah.

Merasmikan perhimpunan sayap Umno malam tadi, Zahid, tanpa menyebut nama Dr Mahathir, menasihatkan negarawan itu menjaga “Boboi” dengan baik.

“Boboi” adalah panggilan mesra pemimpin Umno kepada anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz.

“Adakah anda masih ingat satu ketika dahulu, nakhoda berkata ‘Melayu mudah lupa’ dan ‘Melayu haprak’?” kata Zahid, merujuk kepada petikan popular dikeluarkan Dr Mahathir.

“Sekarang beliau mengatakan kita makan ‘dedak’ (eufemisme sering digunakan untuk menggambarkan rasuah).

“Malangnya, nakhoda ini melompat dari kapal Umno. Tetapi siapa yang tidak berguna sekarang? Siapa sebenarnya makan ‘dedak’?”

Zahid kemudian menyebut “nakhoda” itu 3 kali keluar Umno, sementara Zahid berkata beliau sentiasa kekal setia kepada parti.

“Jadi kepada ‘Melayu mudah lupa’ di luar sana, saya mahu katakan, jagalah Boboi baik-baik.”

Beliau juga mencemuh mengenai ahli yang meninggalkan parti itu, mengulas yang mereka lupa apa dilakukan Umno untuk mereka.

“Itulah cara bagaimana orang itu boleh menjadi menteri besar.”

Mukhriz dilantik menjadi menteri besar Kedah, tetapi kemudian meletakkan jawatan berikutan serangan beliau dan bapanya terhadap Umno dan presiden parti, Datuk Seri Najib Razak.