Apa jadi di Sia Boey, soal kumpulan warisan

Mark-Lay_Khoo-Salma0

GEORGE TOWN: Kumpulan warisan bingung dengan tindakan membisu pihak berkuasa berhubung kajian peninggalan tahun 1800-an yang ditemui di Sia Boey di sini pada Ogos lalu.

Sia Boey ialah pasar yang sudah tidak digunakan lagi di tengah bandar George Town, terletak hampir dengan Prangin Canal dan luar sedikit dari zon warisan yang diwartakan.

Ramai yang mula risau dengan nasib artifak di kawasan itu susulan Sia Boey diperuntukkan untuk terminal LRT besar pada masa depan.

 

Rancangan hebat kerajaan negeri itu mungkin berubah berikutan penemuan tinggalan bangunan purba, seramik dan duit siling di terusan itu.

Pengasas bersama kumpulan George Town Heritage Action, Mark Lay berkata pasar tepi sungai yang sebelum ini sangat terkenal kini terbiar, dan tidak ada tanda sebarang aktiviti di kawasan itu.

Katanya, laporan mengenai kesan penggalian itu, yang sepatutnya didedahkan pada 20 November, masih belum dikeluarkan.

“Kami sangat teruja menunggu untuk melihat laporan arkeologi itu, mengandaikan ada penemuan penting.

“Kami cemas juga hendak tahu sama ada mereka akan batalkan, musnahkan atau bina sesuatu di kawasan pasar itu. Orang awam berhak tahu maklumat terkini,” katanya kepada FMT.

Mark-Lay_Khoo-Salma011

Pada Ogos, ahli arkeologi menemui terusan lama dan peninggalan binaan balai polis yang dibina pada pertengahan abad ke-19 di Sia Boey.

Dinding keselamatan, kunci terusan dan bangunan dibina dengan batu merah serta mortar menunjukkan kemungkinan ia dibina pada zaman awal sejarah George Town oleh Syarikat British India Timur pada 1804.

Penggalian itu turut menemui pecahan seramik, blok kayu dan siling lama tercetak British North Borneo Company.

Pendedahan itu dibuat selepas kerja penggalian dibuat Universiti Sains Malaysia, selepas dihubungi pemilik tanah pasar itu, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

PDC pada mulanya menemui peninggalan arkeologi dari terusan itu ketika menjalankan projek lencongan terusan.

Pada September tahun lalu, kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan bahagian pemuliharaan di terusan Prangin, pasar era Victoria dan sebaris rumah kedai menghadap terusan itu.

Projek “Kelahiran Semua Sia Boey” itu bertujuan menukar kawasan itu menjadi Daerah Seni Warisan Pulau Pinang.

PDC menghabiskan beberapa juta ringgit untuk pemuliharaan semula kawasan itu dan mengukuhkan rumah kedai di situ.

Mark-Lay_Khoo-Salma0112

Namun, tidak sampai 6 bulan kerajaan Pulau Pinang nampaknya memansuhkan projek itu susulan pengumuman Sia Boey akan menjadi kawasan hab pengangkutan, terdiri daripada landasan LRT dan 2 monorel, akan dibina sebagai sebahagian daripada Pelan Utama Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Sementara itu, Naib Presiden Penang Heritage Trust (PHT) Khoo Salma berkata sedih melihat tapak kawasan itu dalam “keadaan amat menyedihkan”.

“Sesiapa yang lalu di tapak itu sekarang di sepanjang Magazine Road dan Jalan Dr Lim Chew Leong (Prangin Road) akan nampak tumbuhan liar di rumah kedai dan sekitarnya, termasuk kawasan di mana penggalian arkeologi sedang dijalankan.

“Terusan Prangin kini laluan air bertakung dengan rumput tumbuh di tembok batu,” katanya.

Salma berkata PHT sebelum ini diberi taklimat oleh pemilik tanah dan penyelidik bagaimana ia merancang untuk mengendalikan tapak itu.

“Tapak Sia Boey dalam keadaan terbaik ketika kami turut serta dalam lawatan tapak pada Ogos.

“Tetapi selepas 3 bulan, tapak itu amat menyedihkan. Cuaca dan kerosakan jelas memusnahkan warisan itu sendiri,” katanya.

Salma berkata langkah lebih baik perlu diambil untuk memastikan tapak itu tidak terus rosak sementara laporan masa depannya disiapkan.

“Kami menggesa pihak berkuasa mengawal tapak Sia Boey dan teruskan usaha pemuliharaan PDC dengan standard pengurusan warisan profesional, setaraf dengan status George Town sebagai Warisan Dunia,” katanya.

FMT ada menghubungi agensi warisan negeri dan pengurus tapak pada masa ini, George Town World Heritage Inc untuk mendapatkan komen.