Sindiket bayi: Polis puas hati kerjasama wartawan Al Jazeera

khalid-baby-aljazeera

KUALA LUMPUR: Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sudah memanggil wartawan Al Jazeera berhubung sebuah program disiarkan yang mendedahkan sindiket penjualan bayi di Malaysia, dan berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan.

Ketua polis negara itu berkata Jabatan Siasatan Jenayah menghubungi seorang wartawan Al Jazeera yang merupakan wanita tempatan pada hari sama laporan Al Jazeera itu disiarkan.

“Kita merakam keterangannya dan beliau memberi kerjasama baik. Kita sedang meneliti maklumat yang diberikannya dan mencari maklumat lanjut.”

Khalid berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti mereka yang terlibat.

Beliau berkata polis akan turut memanggil wartawan lain yang terlibat dengan laporan itu jika ada keperluan.

Khalid bagaimanapun menafikan polis menubuhkan unit khas menyiasat dakwaan mengenai bayi diperdagangkan oleh sindiket di Malaysia, seperti diumumkan Menteri KPWKM Datuk Seri Rohani Abdul Karim semalam.

Beliau menegaskan Malaysia tidak pernah menjadi hab untuk jenayah tersebut, walaupun mengakui ia memang berlaku.

“Ia turut berlaku di negara lain. Kita memang sentiasa menyiasat perkara ini. Takkan kita nak biarkan ia berlaku. Kita tidak bodoh,” katanya lagi.