Akar umbi Umno kecewa dengan Dr M, tapi terima jika ingin kembali

Akar umbi Umno kecewa dengan Dr M, tapi terima jika ingin kembali

Mereka melahirkan kekecewaan dengan tindakan Dr Mahathir bekerjasama dengan DAP kerana beliau pernah berikrar akan setia selamanya dengan Umno.

umno-mahathir
KUALA LUMPUR:
Tindakan bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad menjalinkan hubungan dengan pembangkang khususnya DAP ternyata mengecewakan pemimpin akar umbi Umno.

Ketua Pemuda Cawangan di Bahagian Libaran, Sandakan, Kamal M Said menyatakan Dr Mahathir pernah berikrar akan setia selamanya dengan Umno tetapi kini situasi sebaliknya berlaku.

“Sebagai orang Melayu, kita sangat kecewa dengan tindakannya. Beliau pemimpin lama di dalam Umno. Sepatutnya menjadi contoh anak Melayu yang membangunkan negara.

“Tetapi, kini beliau bersama pembangkang. Beliau cakap tidak serupa bikin,” katanya sewaktu ditemui FMT di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Kesedihan tersebut turut dirasai Pengerusi Tetap Wanita Cawangan Kampung Tanah Hulu, Kuala Kangsar, Rose Nani Baharuddin yang berpandangan Dr Mahathir seharusnya menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan bukannya menentang.

“Dr Mahathir pernah memerintah negara. Beliau seharusnya menyokong Najib dan memahami pahit getir ekonomi yang berlaku di dalam negara.

“Saya menangis meleleh air mata melihat tindakannya (Dr Mahathir) dan memikirkan mengenai generasi, hala tuju negara kita,” katanya.

Kata Rose Nani, Najib merupakan pemimpin yang bagus dan rakyat perlu menyokong apa yang dilakukannya.

“Najib seorang yang bagus, beliau sendiri anak pemimpin, mesti tahu mana yang baik dan buruk. Bagusnya Najib ni, mungkin orang marah dari segi lain.

“Masalah ekonomi bukan negara kita sahaja. Kalau negara kita miskin, pasar raya tidak akan penuh, ramai orang tidak makan. Dulu masa Dr Mahathir, pernah juga ekonomi meleset pada 1997. Justeru, Dr Mahathir kena faham,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau dan Ketua Umno Cawangan Lembah Kelau, Raub Ali Ismail percaya Dr Mahathir akan diterima semula parti jika beliau insaf daripada kesilapannya.

“Kalau Dr Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz sedar dan insaf apa yang dilakukan sekarang dan mahu menyertai parti semula, saya secara jujurnya terima.

“Saya percaya orang Melayu dan Umno akan terima beliau. Kita akui jasanya pada negara dan Umno, khususnya orang Melayu memang banyak,” katanya.

Bagaimanapun, pandangan berbeza disuarakan Setiausaha Cawangan Kampung Batu 6 Jalan Pahang, Tapah, Dina Bah Razi.

Beliau masih kecewa dengan tindakan Dr Mahathir terutama dengan pelbagai tindakan dan usaha untuk menjatuhkan Najib.

“Saya rasa kecewa. Setiap hidup manusia ada turun naik. Tak perlulah beliau kembali sebab sudah kecewa dengan apa yang beliau (Dr Mahathir) buat,” katanya.

Guan Eng tegur perwakilan cemuh Dr Mahathir

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.