Mahkamah beri hak kepada banduan pertikai hukuman mati

law_jail_1_600PUTRAJAYA: Seorang banduan warga Nigeria, yang dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun kerana membunuh, diberi hak untuk menghalang pihak berkuasa menjalankan hukuman mati.

Panel 3 anggota Mahkamah Rayuan memerintahkan Mahkamah Tinggi supaya mendengar tuntutan Michael Philip Spears terhadap kerajaan, langkah yang pertama kali diambil seorang banduan.

Hakim Datuk Varghese George, dalam keputusan setebal 19 halaman, berkata hukuman mati tidak menghapuskan hak-hak perlembagaan Spears atau bidang kuasa mahkamah pertimbangkan remedi yang dipohonnya.

Jelasnya keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2009 dalam kes Lee Kwan Who menentang Pendakwa Raya dengan jelas menyatakan mahkamah harus bertindak apabila diminta menafsir peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh hak asasi.

Hakim lain dalam panel itu Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nallini Pathmanathan.

Katanya Spears mengalami gangguan mental yang serius dan diakui oleh peguam kerajaan. Bukti baharu daripada Lembaga Perubatan Hospital Bahagia berkata Spears mengalami skizofrenia seawal 2004.

Oleh itu, Spears mempunyai kes dan haknya untuk didengari tidak boleh dihalang, kata Varghese.

Mahkamah Tinggi pada November 2014 membuang saman itu atas alasan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk menangani perkara itu.

Spears, 45 tahun, disabit kesalahan membunuh pada 2008, mahu penahanan yang lama dan hukuman mati yang tertangguh diisytiharkan sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan martabat.

Spears, diwakili peguam Abdul Rashid Ismail dan Azreen Ahmad Rastom, mahu hukuman mati diketepikan.

Dia ditahan bersama 2 orang lagi pada 20 Februari 1997 dan kemudian didakwa dengan 3 pertuduhan membunuh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada Jun 2000 hakim mensabitkan mereka dan pada Ogos 2008 Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman keatas Spears dan seorang lagi banduan.

Tertuduh ketiga dibebaskan.

Spears dikurung seorang diri dalam ‘bilik akhir’ sejak Jun 2000 dan jabatan penjara menjadualkan hukuman mati pada Mac 2014, tetapi atas alasan yang tidak diketahui, tarikh itu dibatalkan.

Pada 11 Jun 2014, Spears memfailkan saman terhadap kerajaan, dan mendakwa reman dan penahanan sejak tarikh tangkapan memungkiri Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Dia berkata ia tidak adil dan menafikan hak dibicarakan dengan segera dan dihukum dengan segera.

Dia mendakwa kurungan seorang diri selama 23 jam sehari menyebabkan dia menjadi tidak siuman dan tidak waras, sehingga terpaksa menjalani rawatan psikiatri.