Rayuan saman Najib terhadap Harakah ditetapkan 7 Mac tahun depan

Rayuan saman Najib terhadap Harakah ditetapkan 7 Mac tahun depan

Ia mengenai rayuan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Najib untuk meminda pernyataan tuntutannya bagi memasukkan kenyataan peguam negara SPRM.

najib-harakah
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Mac, tahun depan untuk mendengar 2 rayuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung saman fitnah ke atas lidah rasmi PAS, Harakahdaily berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tarikh tersebut ditetapkan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang bersidang dalam kamar hari ini berhubung pengurusan kes mengenai perkara itu.

Rayuan itu ialah mengenai keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 April tahun ini yang menolak permohonan Najib untuk meminda pernyataan tuntutannya bagi memasukkan kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Satu lagi rayuan ialah berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Mei tahun ini yang menolak permohonan Najib supaya saman itu diputuskan berdasarkan fakta undang-undang tanpa diadakan perbicaraan penuh.

Peguam Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili pengarah urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob dan Ketua Editor Harakahdaily, Taufek Yahya yang disaman perdana menteri, berkata berhubung pengurusan kes, beliau memaklumkan Hakim Md Raus pihaknya tidak mahu menyelesaikan kes saman fitnah tersebut dan mahu perbicaraan mendengar saman diteruskan.

Pada Julai tahun ini, Najib mengemukakan cadangan mengandungi terma bagi penyelesaian kes saman fitnah itu di luar mahkamah.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Najib, yang juga hadir pada pengurusan kes, memberitahu pemberita beliau juga mengemukakan cadangan penyelesaian kepada PAS sehingga 7 Mac kerana perdana menteri berbaik hati menyelesaikan kes saman itu dengan PAS.

Beliau berkata oleh kerana Najib juga akan berada di pentas yang sama pada Ahad bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai isu Rohingya, beliau berharap pemimpin tertinggi PAS akan membalas sikap baik hati itu kerana apa-apapun boleh berlaku sebelum 7 Mac.

Beliau menambah Najib bersedia hadir di mahkamah untuk memberi keterangan dalam semua saman sivil yang difailkannya tetapi buat masa ini beliau perlu menyelesaikan perkara berhubung “interlocutory.”

Najib menyaman Dr Rosli dan Taufek berkaitan artikel berbaur fitnah yang ditulis Rosli dan diterbitkan pada 19 Feb 2015 kerana mendakwa artikel itu menggambarkan beliau menyalahguna dana 1MDB dan penerbitan
artikel tersebut bertujuan mencemarkan reputasinya.

Beliau juga mendakwa Taufek gagal mengamalkan “kewartawanan bertanggungjawab” dan tidak mengesahkan sama ada kandungan artikel Rosli adalah benar sebelum menerbitkannya.

Pendengaran permohonan Najib terhadap Harakah ditetapkan 11 Mei

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.