Lelaki transgender Arab Saudi cerita pengalaman tukar jantina

salman

LONDON: Seorang transgender dari Arab Saudi terpaksa mendiamkan diri sekian lama sebelum boleh mendedahkan penukaran identitinya daripada Salma kepada Salman Al-Dukheil bagi mengelakkan hukuman penjara dan sebat.

“Nama saya bukan Salman ketika saya dilahirkan kira-kira 28 tahun lalu. Ia adalah Salma. Saya adalah perempuan secara biologi,” kata pelajar jurusan perniagaan di Chicago itu.

Ini adalah kali pertama beliau bercakap kepada umum mengenai kisahnya ketika menghadiri Trust Women, persidangan hak dan pemerdagangan wanita dikendalikan Thomson Reuters Foundation, semalam.

“Saya sedar ada yang lain (transgender) di luar sana.

“Jika saya boleh bantu seorang, jika seseorang boleh mendapat manfaat daripada apa yang saya lalui ini, kenapa tidak? Saya jenis yang mengharapkan kesan berterusan,” kata lelaki botak dan berjanggut itu.

Anak bongsu daripada 5 beradik itu dibesarkan di Amerika Syarikat dan Arab Saudi.

Katanya, keluarga menyokong keputusannya menukar jantina ketika remaja dan sejak itu, beliau sudah menjalani rawatan hormon dan pembedahan.

“Jadikan mereka seperti anda. Beritahu mereka mengenainya. Jadikan ia sukar untuk mereka menolak anda.

“Hakikatnya, saya hanya seorang manusia. Ini adalah sebahagian daripada siapa diri saya,” nasihatnya kepada transgender lain untuk memperkenalkan diri mereka kepada orang asing.

Menurut Human Rights Watch yang berpangkalan di Amerika Syarikat, walaupun Arab Saudi tiada undang-undang berkaitan golongan transgender, namun mereka yang berpakaian lain daripada jantina sendiri akan dipenjara dan disebat jika berkelakuan seperti jantina lain.

Homoseksualiti adalah haram di Arab Saudi dan boleh dikenakan hukuman mati.

Menurut penggubalan undang-undang baru-baru ini dan Persatuan Lesbian, Gay, Biseksual, Trans dan Interseks Antarabangsa (ILGA), hubungan seks antara jantina sama masih haram di kira-kira 72 negara.

Walaupun stigma terhadap golongan LGBT berkurangan di sesetengah negara, masih ada transgender yang hidup dalam risiko di negara lain, menurut projek Pemantauan Pembunuhan Trans yang diselaraskan kumpulan hak asasi LGBT, Transgender Europe.

Menurutnya, lebih 2,000 transgender dan orang pelbagai jantina dibunuh di 65 negara antara 2008 hingga 2015.

Menurut Human Rights Watch, negara seperti Malaysia, Kuwait dan Nigeria mempunyai undang-undang terhadap golongan transgender.