BR1M bukan dedak atau beli undi, kata Najib

najib-br1m-1

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukanlah dedak atau bertujuan membeli undi, sebaliknya ia untuk membantu rakyat miskin.

Beliau mengingatkan mereka yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan memberi BR1M kepada golongan miskin supaya tidak mengambil wang itu.

“Kalau orang tidak mahu BR1M, tidak perlu terima BR1M, tiada masalah dan kini sudah naik RM1,200,” katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan usul di akhir Perhimpunan Agung Umno 2016, hari ini.

BR1M merupakan satu bentuk pemberian tunai bersyarat yang diberikan sebagai bayaran tunai kepada isi rumah berpendapatan bulanan bawah RM3,000 dan RM2,000 bagi individu.

Pada 2014, bantuan BR1M diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000.

Pada akhir September 2016, sejumlah RM5.4 bilion diagihkan kepada 4.2 juta isi rumah dan 3.1 juta individu bujang.

Najib ketika membentangkan Bajet 2017 pada Oktober lalu mengumumkan BR1M untuk isi rumah dalam senarai e-Kasih dan berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 dinaikkan daripada RM1,050 dan RM1,000 kepada RM1,200.

Manakala BR1M buat isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 pula dinaikkan daripada RM800 kepada RM900 dan individu bujang berpendapatan kurang RM2,000 dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/21/br1m-bantu-naikkan-pendapatan-keluarga-miskin/