Jadikan Umno hebat kembali, kata ‘Puteri Jerantut’

Jadikan Umno hebat kembali, kata ‘Puteri Jerantut’

Norsarfinaz Mohd Azman berkata Umno perlu belajar daripada kepimpinan terdahulu di mana pemimpinnya memegang kepada kualiti kejujuran, integriti dan keadilan.

Norsarfinaz-Mohd-Azman
KUALA LUMPUR:
Umno tidak sepatutnya hanya mengenang tentang kegemilangan masa lalu tetapi perlu belajar daripada pemimpinnya yang menjadikan keadaan itu, kata perwakilan Puteri Umno.

Norsarfinaz Mohd Azman dalam temu bual dengan FMT berkata tidak salah menggunakan strategi mengingatkan golongan muda mengenai sumbangan parti terhadap negara sejak zaman pra kemerdekaan.

Tetapi, katanya golongan muda perlu lebih daripada nostalgia untuk menarik mereka mengundi parti.

“Mereka perlu Umno berlaku jujur dan telus dalam tindakannya,” kata ketua Puteri Umno Jerantut itu.

Norsarfinaz berkata cara terbaik untuk parti pemerintah itu yang kini semakin kehilangan sokongannya sejak beberapa tahun lalu, ialah kembali kepada asas.

“Kita perlu melihat bagaimana pemimpin Umno terdahulu mengendalikan diri mereka dan mencontohinya.

“Kejujuran, integriti, keadilan dan berlaku adil – itu kualiti dimiliki pemimpin terdahulu.

“Dan dengan kita berusaha cara yang sama, Umno akan automatik dapat semula hari kegemilangannya di mana orang beratur untuk menyertai parti ini dan orang lain mahu bekerjasama dengan kita,” katanya.

Kerajaan BN diketuai Umno gagal memperoleh majoriti dua pertiga dalam Parlimen menerusi 2 pilihan raya umum (PRU) yang terakhir.

Umno sendiri terpecah selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang menjejaskan sokongan akar umbi Umno.

Bagaimanapun, presiden parti Datuk Seri Najib Razak kekal memegang kuasa dan Umno memenangi majoriti besar dalam PRU sebelum ini menentang pembangkang.

Najib membayangkan PRU14 akan diadakan tidak lama lagi.

Namun, Norsarfinaz berkata beliau merindukan kehadiran bekas pemimpin seperti Dr Mahathir dan Muhyiddin di Perhimpunan Agung Umno (PAU).

“Mereka ada bersama kita sudah lama, jadi saya rindukan mereka. Tetapi politik kebencian perlu dielakkan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau bercadang mengembangkan kerjaya politik dan menjadi pemimpin satu hari nanti yang akan mengubah parti dari dalam, beliau menjawab “tidak”.

Katanya, kedudukannya sekarang memberikannya ruang untuk menjadi suara kepada mereka yang tidak boleh bercakap untuk diri sendiri.

Norsarfinaz pada PAU 2016 mendapat perhatian ketika membahaskan usul agama apabila beliau memberi pesanan keras meminta kerajaan bercakap benar mengenai ekonomi negara.

Katanya, kerajaan juga sepatutnya berhenti memandang rendah kebijaksanaan golongan belia hari ini.

“Kami semua intelek tinggi. Jangan tipu kami. Kalau ekonomi tak bagus, cakap tak bagus. Jangan cakap ekonomi masih okay tapi kami nampak kawan-kawan diberhentikan kerja dan harga barang rumah naik,” katanya.

 

PAUTAN:

Usah bodohkan rakyat lagi, kata perwakilan Puteri

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.