Khairy: Wala’ Pemuda Umno kepada Najib bukan amalan membuta tuli

khairy-umno-pemuda

KUALA LUMPUR: Prinsip wala’ atau ketaatan yang diamalkan terhadap pemimpin serta institusi kepemimpinan Umno bukan amalan membuta tuli, tetapi ia kesetiaan dituntut agama, kata Khairy Jamaluddin.

Ketua Pemuda Umno itu berkata, sememangnya setiap ahli perlu menunjukkan kesetiaan mereka selagi arahan yang diberi tidak melampaui batas dan pemimpin tidak melakukan perkara dilarang agama.

“Ada yang bersangka buruk konon ini kesetiaan membuta tuli…ada yang mungkin kurang memahami…apabila kita bercakap tentang wala’ pastinya kita rujuk pada kesetiaan yang dituntut dalam agama.

“Adakah presiden kita seorang pemimpin yang melampaui batas? Adakah presiden kita minta kita lakukan yang dilarang oleh agama?

“Kena faham kenapa 600,000 Pemuda tetap beri wala’ pada Datuk Seri Najib hingga ke hari ini,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2016 berakhir hari ini.

Beliau berkata, perhimpunan tahunan yang dijadikan platform untuk melontar suara anak muda dan aspirasi golongan itu saban tahun memperlihatkan pelbagai inisiatif membela rakyat dizahirkan Najib.

Khairy berkata, sejak memegang jawatan ketua Pemuda Umno 8 tahun lalu, isu menyelubungi golongan muda seperti gaji minimum, hak berpolitik mahasiswa dan juga kos sara hidup dapat diberi perhatian serius oleh parti.

“Setiap tahun kita bawa cadangan dan aspirasi anak muda, bagaimana untuk ringankan, bagaimana hendak bantu…saya tidak minta dedak, ini semua bukan untuk kepentingan peribadi saya, tetapi kita minta untuk rakyat.

“Bila kita minta gaji minimum dilaksanakan, Datuk Seri Najib laksanakan. Bila kita minta untuk pinda Akta Universiti dan Kolej Universiti, Datuk Seri Najib pinda.

“Bila kita tengok rakyat tersepit dengan kos sara hidup yang tinggi seperti kenaikan tol dan pengangkutan awam, sekali lagi Datuk Seri Najib bantu ringankan…bila dia turuti, maka wajib kita sokong.”

Khairy berkata, walaupun tidak mempunyai jawatan dalam Kabinet pada penggal pertama menjadi ketua Pemuda Umno, beliau langsung tidak merajuk atau berdendam, malah terus setia dan istiqamah dengan kepimpinan Najib.

Menyentuh peranannya sebagai panglima perang Tariq Ziyad, Khairy dengan semangat berkobar-kobar meyakinkan pergerakan itu akan melaksanakan amanah diberikan.

“Pemuda mahu menjadi batu Jabal Tariq dalam memperkukuhkan Umno dan mempertahankan institusi…dalam Pemuda bukan hanya saya seorang, tetapi 600,000 Tariq Ziyad bersama Najib.”