
Kementerian Luar berkata krisis kemanusiaan itu bukan lagi isu dalaman tetapi antarabangsa, dan ia perlu diselesaikan bagi menjamin kestabilan dan keselamatan di wilayah Asia Tenggara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, kementerian itu berkata Malaysia menyifatkan penganiayaan itu sebagai “melibatkan kemanusiaan sejagat” dan bukan isu keagamaan.
“Hakikat hanya satu etnik saja yang dihalau keluar boleh didefinisikan sebagai pembersihan etnik,” katanya.
Kementerian itu berkata jumlah etnik Rohingya yang besar di Malaysia, kira-kira 56,000, di bawah panji Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), serta beratus ribu lagi di negara jiran lain, menjadikannya bukan lagi isu dalaman malah ia isu antarabangsa.
“Malaysia tidak perlu mengingatkan jurucakap pejabat presiden Myanmar U Zaw Htay mengenai krisis orang hanyut 2015 yang kemudiannya menjadi isu serantau apabila negara jiran Myanmar mengambil alih beban itu.
“Dengan mengambil kira perkara ini dalam fikiran, Malaysia berulang kali menawarkan bantuan kepada kerajaan Myanmar untuk mencari penyelesaian yang adil dan segera dengan penganiayaan ke atas masyarakat Rohingya di utara Rakhine,” katanya.
Menurut kementerian itu, sebagai negara jiran dan ahli yang bertanggungjawab dalam komuniti antarabangsa, Malaysia mempunyai tanggungjawab bagi memastikan rakan anggota Asean mengambil langkah proaktif bagi memastikan perkara itu tidak berlanjutan.
Malaysia menyedari tentang prinsip asal Asean diwujudkan, sebagai negara anggota pengasas bagi pertubuhan serantau itu, menurut kenyataan itu sambil menambah pada 2008, semua 10 negara anggota Asean bersetuju menjadikan Piagam Asean, yang mengikat mereka kepada prinsip antarabangsa mengenai perlindungan dan mempromosi hak asasi manusia.
Tambahan pula, semua negara anggota Asean bersetuju untuk bertindak dengan berkesan, selaras dengan prinsip keselamatan yang menyeluruh terhadap ancaman, sambil menambah isu Rohingya turut menjadi satu ancaman kepada keselamatan Malaysia sendiri.