Najib: Masalah dalaman Umno selesai, fokus PRU14 bukan pemilihan parti

najib-umno-1

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, masalah dalaman Umno sudah selesai dan ahli perlu memfokuskan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk memastikan Barisan Nasional (BN) menang bergaya, bukannya pemilihan parti.

“Bagai rambut tersimpul mati, tiada lagi masalah dalaman Umno,” kata presiden Umno itu yang melihat kesepaduan parti selepas pemimpin yang diragui kesetiaan mereka tiada lagi dalam parti terbabit.

Pada sidang media selepas ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno 2016, Najib bagaimanapun enggan mengulas jika PRU14 akan diadakan dalam tempoh 6 bulan.

“Selain ‘feel good factor’, banyak faktor perlu diambil kira dan diambil penilaian, berdasarkan keadaan, sikap rakyat dan keberkesanan usaha kerajaan dalam penyampaian mesej.

“Sebab itulah kita kena beri tempoh untuk jentera kita melakukan kerja-kerja yang sepatutnya. Tugas kita sekarang ini ialah untuk memenangi hati rakyat. Pastikan rakyat bersama kita. Inilah yang saya nak setiap ahli Umno dan jentera kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata, usaha akan ditumpukan untuk mendekati, menyelesaikan masalah rakyat dan menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat.

“Soal perpaduan dan kepimpinan kita yang kukuh dan ampuh, soal roh perjuangan serta motivasi kita, sudahpun nampaknya kita letakkan dalam keadaan sangat baik dan kita bersedia untuk mara ke hadapan.”

Bagaimanapun, perdana menteri berkata, beliau dapat ‘menghidu’ ada ahli parti yang lebih berminat kepada pemilihan Umno berbanding PRU14.

“Kalau lihat pada roh perjuangan, kita semua mempunyai satu iltizam, sudah selesai masalah dalaman Umno. (Sekarang) nak hadap ke mana? Mana? PRU14, bukan pemilihan Umno.

“Saya nampak ada (ahli) main tali halus. Saya dah lama dalam politik boleh baca, saya tahu dia sokong siapa. Nak main tali halus sikit tak apa tapi jangan hilang fokus dan hala tuju,” katanya dalam ucapan penggulungannya.

Mandat kerajaan BN bakal berakhir pada Jun 2018, manakala pemilihan Umno yang kali terakhir diadakan pada Oktober 2013 dan sepatutnya diadakan tahun ini ditunda selama 18 bulan.

Najib turut mengingatkan ahlinya tidak leka dibuai kemenangan dalam pilihan raya negeri Sarawak dan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar serta Sungai Besar, sebaliknya meneruskan kerja keras untuk memastikan kejayaan dalam PRU14.

“Kita mesti sedar kemenangan dalam satu, 2 (pilihan raya kecil) tak semestinya kita akan menang waktu ujian besar nanti (PRU14). Ini kita mesti sedar,” tegasnya.

Najib turut memberi amaran kepada ahli Umno tidak sesekali memandang rendah kemampuan lawan serta mempercayai sepenuhnya pungutan pendapat mengenai sesuatu pertandingan.

Beliau memberi contoh rancangan Britain yang ingin keluar dari Kesatuan Eropah dan keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat yang dimenangi calon Republican, Donald Trump sebagai antara contoh pungutan pendapat kurang tepat.

“Cuma kalau kita kerja sebagai 1 pasukan, dalam 1 ikatan macam lagu ‘Gurindam Jiwa’ – ‘rambut tersimpul mati’ – dari atas sampai bawah pasti Umno dan BN akan menang lagi dalam PRU.”

Dalam pada itu, Najib dalam ucapan penggulungannya berkata, pemerhati luar di PAU 2016 melihat Umno sebagai parti unik kerana perjuangannya tidak hanya memfokuskan lebih 3 juta ahli parti, tetapi seluruh rakyat Malaysia.

“Dalam perbahasan 3 hari ini, Umno tidak fikir mengenai anggotanya sahaja, tapi 31 juta rakyat Malaysia. Umno ingin jadi parti penggerak transformasi nasional,” katanya.