Najib: Saya tak kenal Altantuya, tetapi dituduh terlibat kes bunuh dia

najib-altantuya.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini menempelak pakatan pembangkang yang cenderung mengaitkan dirinya dengan pelbagai isu negatif dalam negara.

Presiden Umno itu berkata, beliau dilempar pelbagai kesalahan dengan cerita yang sengaja direka-reka pembangkang untuk menghasut rakyat, termasuk beberapa kes pembunuhan.

“Orang yang saya tak kenal, Altantuya (Shaariibuu) pun dia kata saya terlibat. Kalau saya terlibat, tak payah tunggu polis, isteri saya dah buat sesuatu dah. Walaupun saya dah bersumpah dalam masjid, bangkit lagi cerita, tetapi tiada bukti langsung.

“(Kes pembunuhan) Kevin Morais pun kata saya terlibat. Cerita cincin lagi. Selepas itu, dia kata dia bergurau, tetapi bak kata orang putih, ‘the damage is done’,” katanya ketika menggulung perbahasan pada akhir Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Warga Mongolia, Altantuya dibunuh pada 2006, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais dibunuh sebelum mayatnya disumbat dalam tong dan disimen pada 4 September 2015.

Najib turut mempersoalkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad sengaja mengadakan-adakan cerita mengenai hutang 1MDB, seolah-olah syarikat itu langsung tiada sumbangan kepada negara.

“Isu 1MDB dia kata rugi RM42 bilion, lepas itu dia kata RM27 bilion. Sekarang dah terjawab (isu itu), dia senyap pula. Tetapi jasa 1MDB, setiap tahun 1,200 imam dan ketua kampung naik haji. Ada juga jasanya. Kalau ada kelemahan, kalau salah, akan dibetulkan,” jelas Najib.

Beliau turut mencabar bekas perdana menteri itu menyaman Barry Wain yang menulis buku bertajuk “Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times” mengenai penyelewengan ketika pemerintahannya selama 22 tahun.

“Zaman Dr Mahathir lagi banyak cerita. Cerita IPP (penjana tenaga bebas), cerita tol, penswastaan Malaysia Airlines, Perwaja, Forex. Saya tahu cerita.

“Dalam buku dia (Wain), ada RM100 bilion ketirisan. Kalau tak betul, samanlah Barry Wain. Kalau bab saya, suruh saman. Kalau bab dia, tak saman,” katanya.

Najib juga mencabar pengerusi PPBM itu mengadakan konvensyen parti baharunya bagi melihat sama ada perwakilan parti itu mampu memenuhi dewan seperti yang berlaku pada Perhimpunan Agung Umno.