
Ragunath Kesavan berkata tidak ada keperluan segera untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan hakim kerana tindakan itu akan menyebabkan prospek untuk hakim lain naik pangkat tersekat.
“Perbincangan terperinci perlu diadakan dengan semua kumpulan berkenaan sebelum keputusan dibuat,” katanya kepada FMT.
Ragunath berkata demikian sebagai mengulas cadangan bekas menteri undang-undang Tan Sri Rais Yatim yang usia persaraan hakim patut dilanjutkan, seperti di negara lain.
Rais, yang juga penasihat kepada kerajaan dalam hal ehwal sosial dan budaya mencadangkan tempoh itu dilanjutkan daripada 66 tahun pada masa sekarang kepada 70 atau 75 tahun.
Katanya, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersara pada usia 77 tahun tetapi masih aktif hingga sekarang dalam usia 91 tahun.
Ragunath berkata bekas hakim boleh berkhidmat sebagai pensyarah, penimbang tara, perunding undang-undang atau kembali menjadi peguam untuk menyibukkan diri serta mendapat pendapatan.
Katanya, prospek untuk hakim junior menaiki tangga kehakiman akan terjejas jika hakim sedia ada di mahkamah lebih tinggi kekal lama.
Beliau berkata hakim di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan akan berada terlalu lama di jawatan masing-masing dan keadaan itu tidak bagus untuk moral dan motivasi mereka.
“Tambahan pula, penjawat awam juga akan minta kerajaan untuk melanjutkan usia persaraan mereka kelak,” katanya.
Hakim hanya boleh berada dalam jawatan mereka untuk tambahan 6 bulan lagi selepas usia bersara wajib 66 tahun.
Perlembagaan Persekutuan juga membenarkan Yang di-Pertuan Agong, dengan nasihat ketua hakim negara untuk melantik hakim tambahan secara kontrak.