KUALA LUMPUR: Tidak adil jika ucapan perkauman di Perhimpunan Agung Umno (PAU) tidak dikenakan tindakan, tetapi individu yang berucap di Bersih 5 pula disiasat, kata Tony Pua.
Pengerusi DAP Selangor berkata amat jelas sedang berlaku penyalahgunaan kuasa dan layanan yang tidak adil di Malaysia.
“Mereka ini seperti agung di negara kita, manakala sesiapa yang ingin pertahankan hak minoriti akan ditahan dan ditangkap untuk siasatan yang tidak adil.
“Ada penyalahgunaan kuasa di Malaysia, layanan tidak adik antara masyarakat. Kita harap polis akan menjalankan tugas mereka secara adil,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.
Terdahulu, Tony dipanggil memberi keterangan kepada polis berhubung ucapannya di perhimpunan Bersih 5 pada 19 November lalu.
Katanya, polis mengambil keterangannya selama 40 minit bermula jam 10 pagi.
“Polis menyiasat saya di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman berhubung himpunan di Stesen LRT Bangsar.
“Antara soalan yang ditanya kepada saya ialah adakah saya berada di sana, apa yang saya buat, kenapa adakan himpunan Bersih,” katanya.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata beliau difahamkan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula akan dipanggil selepas ini.
“Beliau (Nurul) berada di luar negeri ketika ini. Dia akan dipanggil selepas pulang dan katanya, akan ada beberapa lagi pemimpin yang akan dipanggil,” katanya.
Sementara itu, peguam K.A Ramu berkata siasatan terhadap anak guamnya itu tidak wajar dilakukan dan kes itu sepatutnya ditutup.
“Saya percaya, kes ini mesti ditutup, dia hanyalah menjalankan tugasnya saja. Banyak lagi kes yang berlaku dan kes ini tidak wajar untuk diteruskan atau disiasat,” katanya.