PETALING JAYA: Polis belum selesaikan siasatan ke atas tunjuk perasaan Bersih 5.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menyertai senarai panjang orang yang dipanggil untuk disoal mengenai pembabitan dalam tunjuk perasaan di ibu negara 19 November lepas.
Santiago berkata tidak ada laporan polis dibuat terhadapnya. Sebaliknya, beliau dipanggil untuk membantu siasatan.
“Saya tanya polis siapa yang buat laporan terhadap saya. Beliau jawab tiada laporan dibuat dan mereka memanggil orang boleh beri maklumat mengenai kejadian Bersih 5,” katanya.
Ketika Santiago memberitahu polis di Balai Polis Daerah Sentul yang mereka sudah mempunyai gambar dan rakaman video kejadian, polis menjawab kehadiran beliau hari ini cuma protokol.
“Antara soalan yang mereka tanya sama ada saya berucap pada hari itu dan jika ya, apakah isi ucapan itu.”
“Saya beritahu isi ucapan itu menyentuh mengenai kepentingan pilihan raya yang bebas dan adil.”
Santiago juga ditanya sama ada beliau mengenali seorang wanita dalam gambar dan memberitahu polis sama ada wanita itu berada di tunjuk perasaan itu.
“Saya beritahu saya tidak kenal wanita itu.
“Saya rasa mereka tunjuk gambar orang berbeza untuk kenalpasti siapa yang ada di situ dan isi ucapan mereka.”
Santiago mendakwa ternampak fail yang tebal berisi nama orang.
“Saya rasa mereka akan panggil ramai orang. Saya rasa mereka siasat semua yang berucap di Jalan Bangsar.”
Santiago bersama peguam, John Fam, semasa disoal siasat.