Terima kasih KPN beri idea Disney, kata Zunar

Terima kasih KPN beri idea Disney, kata Zunar

Kekal berdegil, kartunis Zunar beri bayangan beliau mungkin mengguna pakai idea ketua polis negara untuk melukis karikatur diinspirasikan daripada Disney.

zunar_khalid-abu-bakar_600
PETALING JAYA:
Kartunis kontroversi Zunar dengan nada sinis, mengucapkan terima kasih kepada ketua polis negara (KPN) kerana mencadangkan idea melukis karakter kartun kanak-kanak, berkata beliau mungkin akan menghasilkan karya satira politik beraspirasikan watak Disney.

“Saya tak pernah lukis Donald Duck seumur hidup saya, tetapi KPN beri saya idea itu. Saya hendak ucap terima kasih padanya,” katanya dalam satu pesanan WhatsApp.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Jumaat lalu, yang berkata kartunis tidak sepatutnya menyebarkan kebencian terhadap kerajaan kerana bukan budaya rakyat Malaysia menghina pemimpin.

Khalid berkata Zunar boleh melukis apa saja yang dikehendakinya seperti “old mcdonald” atau “donald duck”, asalkan dia tidak menghina sesiapa.

“Saya harap dia tak tangkap saya kerana ikut cadangannya,” kata Zunar.

Baru-baru ini Zunar ditahan polis dan disiasat kerana mengganggu ketenteraman awam ketika mengadakan pameran karyanya di Komtar, Pulau Pinang. Ia adalah penahanannya kali ke-10 berkaitan dengan karya kartunnya.

Pamerannya di Komtar itu hampir menyebabkan dia diserang sekumpulan 30 individu dipercayai daripada Pemuda Umno.

Pamerannya yang termasuk lukisan menggambarkan perdana menteri dan pemimpin negara lain dalam keadaan tidak elok.

Pamer lukisan kritik PM, Zunar diserang di Pulau Pinang

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.