Aktivis: Akta anak angkat tidak seragam burukkan keadaan

child_adob_law_600PETALING JAYA: Undang-undang pengambilan anak angkat yang tidak konsisten diamalkan di seluruh negara memburukkan lagi keadaan untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan, anak diabaikan ibu bapa dan mangsa pemerdagangan manusia.

Aktivis hak kanak-kanak, Hartini Zainudin berkata, proses pengambilan anak angkat berbeza di Semenanjung Malaysia, Sabah serta Sarawak dan ia ditentukan undang-undang sebelum merdeka, di mana ia hanya dipinda dan disemak sekali pada 1995 dan 2001.

“Terdapat kesan daripada ketidakseragaman dan kajian semula undang-undang pengambilan anak angkat.

“Undang-undang ini perlu dinilai semula dan dipinda dari semasa ke semasa kerana perlindungan kanak-kanak dan semangat melindungi kanak-kanak di Malaysia adalah penting. Kita tidak melakukannya,” katanya kepada FMT baru-baru ini.

Beliau merujuk kes kanak-kanak dilaporkan hilang atau dibeli dan dijual seperti sindiket penjualan bayi di Malaysia yang didedahkan rangkaian berita Al Jazeera, bulan lalu.

Katanya, ada di antara kes itu yang menimbulkan persoalan siapa yang menjadikan kanak-kanak itu anak angkat?

“Ada satu kebimbangan besar tentang apa yang berlaku kepada kanak-kanak itu. Siapa yang menjadikan kanak-kanak itu anak angkat? Apa kriteria untuk bakal ibu bapa?” soalnya.

Proses pengambilan anak angkat di Malaysia kini di bawah 2 undang-undang lain yang dikuatkuasakan serentak – Akta Pengangkatan 1952 yang hanya diguna pakai untuk bukan Islam, manakala Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 mengambil kira undang-undang Islam bagi membolehkan umat Islam mengambil anak angkat secara sah.

Perbezaan perundangan ini bersama amalan undang-undang di Sabah dan Sarawak menjadikan proses pengambilan anak angkat rumit. Sebahagian daripadanya disebabkan proses itu tidak mengambil kira realiti kanak-kanak tanpa kerakyatan dan pelarian.

Pengasas bersama Yayasan Siti Sapura Husin itu berkata, di bawah undang-undang negara, kanak-kanak dan bayi yang diabai serta dibuang ibu bapa diklasifikasikan tiada kerakyatan dan dianggap beragama Islam seperti ditetapkan fatwa menyebabkan keadaan bertambah sukar.

“(Ini) tiada dalam undang-undang. Mengikut Majlis Fatwa Kebangsaan, semua kanak-kanak tanpa kerakyatan yang tiada sebarang rekod mengenai status mereka dianggap beragama Islam,” kata Hartini.

“Ramai mahu menjadi kanak-kanak ini sebagai anak angkat berdepan kesukaran disebabkan kriteria berlainan. Itu dan hakikat ada ramai pasangan bukan Islam yang mahu mengambil anak angkat, tetapi mereka tidak boleh berbuat demikian. Senarai menunggu yang panjang, proses berbelit…orang letih.”

Hartini berkata, proses pengambilan anak angkat yang terlampau kusut ini sebaliknya mencetuskan isu pemerdagangan kanak-kanak, kanak-kanak dibesarkan dalam industri seks, pelanggaran hak-hak kanak-kanak dan masalah sosial lain.

“Tiada cara betul untuk melindungi kanak-kanak untuk dijadikan anak angkat di negara ini. Kami tidak tahu ke mana kanak-kanak itu pergi.

“Saya tidak menyalahkan Kementerian Pembangunan Wanita atau Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana pegawai mereka kerja berlebihan dan mereka tidak cukup petugas untuk menjalankan pemantauan. Sistem ini mempunyai kelemahan,” katanya.

Prosedur ambil anak angkat akan dipermudah

MMA: Akta ambil anak angkat rumit dorong penjualan bayi

‘Bekalan’ bayi Islam untuk jadi anak angkat lebih ramai