‘Hati-hati’ tangani Myanmar dalam isu Rohingya, pesan bekas duta

‘Hati-hati’ tangani Myanmar dalam isu Rohingya, pesan bekas duta

Fauziah berkata, kejayaan Asean menangani Myanmar adalah melalui pembabitan membina serta pujukan dan formula berjaya itu tidak patut ditinggalkan demi pendekatan "konfrontasi".

Fauziah-Mohd-Taib
PETALING JAYA:
Putrajaya perlu “lebih berhati-hati” menangani Myanmar dalam krisis Rohingya bagi mengelakkan negara itu kembali kepada “cara lama” pengasingan ketika pemerintahan rejim tentera, kata bekas diplomat Malaysia.

Bantahan demi bantahan disuarakan masyarakat antarabangsa terhadap kezaliman tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya yang menyaksikan ratusan orang dibunuh dan dirogol dengan puluhan ribu lagi kehilangan tempat tinggal.

Malaysia mengambil pendirian tegas terhadap isu itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyertai Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya, manakala yang lain menggesa kerajaan memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar.

Datuk Dr Fauziah Mohd Taib yang pernah menjadi diplomat negara selama 35 tahun berkata, selama beberapa dekad, Myanmar mengasingkan diri apabila junta tentera mentadbir negara itu.

“Asean melakukan banyak usaha untuk membawa Myanmar ke dalam komuniti ini dan kami berjaya berbuat demikian pada 1997. Malah, Malaysia adalah negara pertama menerima Myanmar sebagai anggota Asean,” katanya sambil menambah sejak itu, Yangon membuka pintu kepada rantau ini dan dunia.

“Jadi, kita perlu berhati-hati dengan cara berurusan dengan Myanmar. Kita tidak mahu mereka kembali kepada pengasingan,” kata bekas wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) di The Hague, Belanda.

Pendekatan Asean

Bekas duta besar Malaysia ke Belanda itu berkata, kejayaan Asean menangani Myanmar adalah melalui pembabitan membina dan pujukan.

Katanya, ini ialah “cara Asean” dan formula berjaya yang tidak patut ditinggalkan sekarang berbanding pendekatan “konfrontasi”.

Beliau berkata, tidak mungkin Malaysia boleh membawa isu itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana ia memerlukan pembabitan Malaysia dan Myanmar.

“Jika anda lihat pertikaian Pulau Batu Puteh, Malaysia dan Singapura setuju bawa ke ICJ. Saya tidak rasa Myanmar mahu pergi ke ICJ mengenai isu ini,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Yusri Mohamad menggesa ICJ mengambil tindakan terhadap kekejaman Myanmar ke atas etnik Rohingya.

Implikasi guna kaedah kurang diplomatik

Fauziah yang berpangkalan di United Kingdom memberi amaran kaedah kurang diplomatik akan membawa implikasi besar kepada Malaysia dan Myanmar.

“Kita mempunyai kehadiran besar di Myanmar. Selama bertahun-tahun, kita melabur dan menarik pelaburan ke negara ini, terutama dalam pelancongan, minyak dan gas, makanan dan minuman, penjagaan kesihatan serta sektor pembuatan.

“Kita juga adalah rakan dagang keempat terbesar Myanmar dan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), kita melatih lebih 3,000 warga Myanmar dalam pelbagai bidang.”

MTCP ialah program di bawah Kementerian Luar yang menyaksikan Malaysia berkongsi kepakaran dalam pelbagai bidang dengan melatih rakyat negara lain.

“Bagi saya, ia akan menjadi lebih baik jika usaha untuk menghentikan keganasan terhadap Rohingya diberikan kepada Kementerian Luar dalam cara paling diplomatik.”

Fauziah turut mengingatkan kerajaan supaya berhati-hati bagi mengelakkan Malaysia dilihat pilih kasih dalam penghapusan etnik di negara tertentu sahaja memandangkan keganasan sama turut berlaku di Sudan dan Rwanda.

Katanya, walaupun ramai rakyat Malaysia marah dengan apa yang berlaku di Myanmar, mereka perlu mengelak daripada melepaskan kemarahan ke atas warga Myanmar di sini dan pihak berkuasa perlu memastikan keselamatan rakyat Myanmar.

PAUTAN:

Pemimpin Umno, PAS berkongsi pentas bawa isu Rohingya

Najib kecam Suu Kyi, tak kisah putus hubungan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.