
Mereka yang berumur antara 14 sehingga 50 tahun dipercayai berbuat demikian setelah berang kerana tidak dibenarkan tidur di perkarangan Masjid Bandar Baru di sini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12.15 tengah malam daripada orang awam, dan sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh kemudiannya dihantar ke masjid berkenaan.
“Semasa pihak polis tiba, kumpulan berkenaan masih berada di masjid tersebut. Polis yang turut memeriksa mereka kemudiannya menemui 2 pisau yang diselit pada pinggang 2 daripada lelaki berkenaan.
“Polis turut menemui 4 pistol dipercayai tiruan, 123 biji peluru ‘bullet bearing’ dan 2 pisau dalam kereta jenis Toyota Vios dan Mitsubishi Triton yang digunakan kumpulan itu yang menggunakan nombor pendaftaran Thailand,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Aziz berkata polis turut merampas beberapa tabung derma yang bertulis “Tabung Derma Ikhlas Pembinaan Tahfiz/Pelajar Yatim-Miskin” yang berisi wang tunai sebanyak RM1,200 dipercayai hasil kutipan derma serta beberapa buku resit.
Beliau berkata siasatan awal mendapati semua individu berkenaan sering memasuki negara ini selama 3 bulan sebelum pulang ke Thailand dan kembali semula ke negara ini dengan menggunakan visa pelancong.
Mereka didapati kerap beroperasi di sekitar Sungai Buloh, Bangi dan Ampang.
Aziz berkata pihaknya sedang menyiasat modus operandi kumpulan berkenaan selain menyiasat kemungkinan wujud sindiket penipuan dengan cara mengutip derma.
Beliau berkata pihaknya juga menyiasat senjata api tiruan dan pisau yang didakwa mereka dibeli daripada sebuah kedai di Bangi.
Semua individu tersebut kini direman 4 hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.