Remaja 15 tahun terlibat kes pecah masuk tadika ditahan

Remaja 15 tahun terlibat kes pecah masuk tadika ditahan

Polis turut merampas pelbagai barangan antaranya pelbagai jenis beg, mesin rumput dan alat gerudi dipercayai hasil curi

Nik-Ros-Azhan_rompak_600
BUKIT MERTAJAM:
Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun kerana terlibat dalam kes pecah rumah termasuk beberapa tadika di sekitar kawasan Kubang Semang dan Bukit Indera Muda semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menahan remaja yang sudah tidak bersekolah itu di Jalan Kubang Semang kira-kira pukul 1.15 tengah hari.

“Siasatan mendapati dia bersama sepupunya berusia 18 tahun yang ditahan polis baru-baru ini, terlibat dalam beberapa kes pecah rumah dan tadika.

“Ini termasuk yang terbaharu di mana pemilik tadika di Bukit Indera Muda kerugian ribuan ringgit selepas premisnya dirompak.

“Sepupu remaja itu kini menjalani hukuman penjara berhubung kes dadah,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata modus operandi mereka adalah mengenal pasti rumah yang tiada penghuni sebelum mengumpil tingkap belakang dan masuk mencuri barangan berharga.

Nik Ros Azhan berkata susulan penahanan remaja itu, polis merampas pelbagai barangan antaranya pelbagai jenis beg, sebuah mesin rumput dan alat gerudi dipercayai hasil curi di sebuah rumah di Bukit Indera Muda.

Katanya polis juga sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai ‘pali kopiak’ berusia lingkungan 20-an yang merupakan pembeli barang-barang hasil pecah rumah 2 remaja tersebut.

Siasatan mendapati selain terlibat dalam kegiatan pecah rumah 2 remaja lelaki itu turut aktif dalam kegiatan samun di daerah SPT sejak tahun lepas, katanya.

Beliau berkata remaja lelaki itu direman selama 5 hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.