
Ghislain Wattrelos yang kehilangan isteri dan 2 anak dalam penerbangan itu berkata, penemuan lebih banyak serpihan boleh membantu menentukan apa yang berlaku, lebih 1,000 hari selepas pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
“Ia boleh memberitahu kami jika berlaku kebakaran, jika ada kesan letupan,” katanya pada sidang media di Antananarivo, ibu negara Madagascar di mana beberapa serpihan ditemui.
“Lebih banyak serpihan yang kami ada, lebih banyak kami boleh bentuk semula, mengkaji angin dan arus, di mana pesawat itu terhempas.”
Waris MH370 sebelum ini mendakwa penyiasat yang diketuai Malaysia terlalu memfokuskan pencarian laut dalam untuk serpihan pesawat di luar pantai Australia.
Lawatan 7 waris MH370 ke Madagascar, di mana hampir separuh daripada lebih 30 serpihan dikatakan milik pesawat MAS itu ditemui, mendorong penyiasat Malaysia mengikuti mereka ke pulau Lautan Hindi itu untuk mengumpul serpihan lain.
Kementerian Pengangkutan menyerahkan 6 serpihan pada Isnin, termasuk tempat duduk belakang dengan cangkuk kot, serpihan sayap dan ekor pesawat.
Pengarah Biro Siasatan Kemalangan Penerbangan Awam Madagascar, Gervais Damasy berkata, beliau akan berbincang dengan ketua penyiasat Malaysia sama ada kedua-dua negara boleh melancarkan misi pencarian bersama di pantai Madagascar sepanjang 5,150km.
“Kami mahu bantu, tetapi secara bersendirian, kami tiada caranya.”
Peguam Malaysia yang kehilangan ibunya dalam penerbangan MH370, Grace Subathirai Nathan berkata, 7 waris yang kini berada di Madagascar akan “gembira” jika penduduk di pesisir pantai timur Afrika menyertai misi pencarian itu.
“Sehingga hari ini, setiap serpihan dijumpai orang awam. Ia penting untuk tahu yang kita sebagai rakyat biasa boleh mengubah keadaan.”
Tujuh waris yang menanggung sendiri perbelanjaan ke Afrika itu berkata, mereka akan menawarkan ganjaran kepada sesiapa sahaja yang menemui serpihan disahkan milik pesawat MH370.
“Ia perlu dibuktikan ia adalah serpihan sebuah pesawat dan kemudian bergantung kepada kepentingan serpihan itu,” kata Grace tanpa memberitahu jumlah ganjaran yang ditawarkan mereka.
Grace antara 4 rakyat Malaysia, 2 warga China dan seorang warga Perancis yang terbang ke Madagascar pada 3 Disember lalu untuk mencari serpihan serta meningkatkan kesedaran masyarakat dan pertubuhan tempatan mengenai misteri MH370.
Tiga serpihan ditemui di pantai Mauritius, Tanzania dan kepulauan Reunion disahkan milik MH370. Penyiasat sedang mengkaji serpihan lain yang ditemui di Mozambique dan Afrika Selatan.
Pesawat MH370 hilang daripada radar bersama 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, pada 8 Mac 2014, yang membawa kepada pencarian di selatan Lautan Hindi yang masuk hari ke-1,000 Sabtu lalu.
PAUTAN: