700 penumpang terkandas di Terminal Feri Tawau

feri

TAWAU: Lebih 700 penumpang feri tempatan dan asing terkandas di Terminal Feri Tawau, berikutan perkhidmatan feri yang dijadualkan ke Tarakan dan Nunukan, tidak beroperasi sejak semalam.

Tinjauan mendapati kebanyakan penumpang yang terkandas kecewa dengan keadaan itu kerana banyak urusan rasmi dan keluarga tergendala.

Ratna Abu Bakar, 50 dari Nunukan, Indonesia berkata perkara itu memberikan pengalaman pahit kepadanya yang tiba di Tawau seawal 6 pagi dengan menaiki bas dari Kota Kinabalu pada 8 malam, semalam.

“Saya mahu balik ke Nunukan pagi ini, tapi sebaik tiba di terminal, tiket tidak dijual dan pada 11 pagi dimaklumkan tiada feri ke Nunukan,” katanya yang sudah 21 hari berada di Sabah untuk melawat anaknya yang menjalani pembedahan di sebuah hospital kerajaan di Kota Kinabalu.

Masnah Madung, 53, seorang warga Indonesia yang berkahwin dengan warga Malaysia dan menetap di Inanam berkata beliau ingin pulang ke Nunukan untuk urusan rasmi.

“Saya mahu cop pasport yang akan tamat tempoh pada 19 Disember ini tetapi hari ini diberitahu tiket tidak dijual kerana tidak ada feri dari Nunukan,” katanya yang bertolak dari Kota Kinabalu menaiki bas pada 8 malam, semalam.

Aris Wahyudi, 27, dari Tarakan berkata dia terpaksa bermalam di terminal kerana tidak ada tiket dijual untuk ke Tarakan hari ini.

Beliau berada di Sandakan selama 3 hari atas urusan perniagaan dan apabila tiba di terminal feri pagi ini, pekerja di kaunter tiket tidak mahu menjual tiket kerana belum pasti dengan perkhidmatan feri.

Tinjauan mendapati keadaan itu dipercayai berlaku kerana pengusaha feri di Nunukan dan Tarakan tidak berpuas hati dengan caj terminal feri dan caj ke atas barangan penumpang.

Sementara itu, Pengurus Besar Fokasjadi Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan terminal feri di sini, Lim Yit Kiong enggan mengulas mengenai perkara itu namun berkata operasi terminal feri di sini berjalan seperti biasa.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau Alijus Sipil berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan atau maklumat rasmi daripada mana-mana pihak berhubung perkara itu.

Terminal Feri Tawau itu mula beroperasi 5 Disember lepas menggantikan terminal lama bagi memberi kemudahan kepada lebih 700 penumpang setiap hari yang menggunakan perkhidmatan feri membabitkan perjalanan Tawau-Nunukan dan Tawau-Tarakan, Indonesia.

Sementara itu, Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau Krishna Dielani ketika dihubungi mengesahkan pengusaha feri di Nunukan dan Tarakan tidak mahu beroperasi seperti biasa.

Namun, beliau berkata pihaknya belum menerima secara rasmi mengenai permasalahan yang dihadapi pengusaha feri di Nunukan dan Tarakan sehingga menyebabkan perkara itu berlaku sekali gus menyebabkan perjalanan penumpang di kedua-dua negara tergendala.

“Difahamkan pengusaha feri di Nunukan dan Tarakan belum mencapai kata sepakat mengenai beberapa perkara termasuk berkaitan caj terminal yang dikenakan syarikat pengendali Terminal Feri Tawau,” katanya.