Dr M, sekutunya oportunis politik sebenar, kata MCA

Dr M, sekutunya oportunis politik sebenar, kata MCA

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA menyelar kenyataan Dr Mahathir dan tidak layak untuk bercakap mengenai prinsip.

Ti-Lian-Ker-Mahathir
PETALING JAYA:
MCA membidas tulisan terkini dalam blog Tun Dr Mahathir Mohamad dan menegaskan bekas perdana menteri itu serta sekutu pembangkang barunya adalah oportunis politik sebenar.

Menurut Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Datuk Seri Ti Lian Ker, Dr Mahathir tidak layak untuk bercakap mengenai prinsip.

“Dr Mahathir sepatutnya menjadi orang terakhir yang bercakap mengenai prinsip.

“Malah, beliau dan rakan pembangkang semua oportunis politik yang berpakat bagi agenda politik dan dendam peribadi.”

Beliau merujuk kepada Dr Mahathir dan bekas ahli Umno termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, bergabung tenaga dengan yang mereka pernah dianggap sebagai musuh politik untuk menggulingkan perdana menteri.

Dr Mahathir mendakwa pemimpin MCA oportunis dan menolak parti berasaskan kaum Cina semata-mata “bahagian sampingan Umno Najib yang rasis”.

Ti berkata partinya menjadi sasaran serangan pembangkang kerana ia tidak mengambil kesempatan terhadap pihak lawan.

“MCA tidak mengamalkan cara tidak adil. Kami sentiasa mempunyai rasa hormat dan kesopanan,” katanya kepada FMT.

“Kami tidak akan tunduk ke tahap mereka (pembangkang) untuk memburuk dan melemparkan fitnah tidak berasas di pihak lain. Kami tidak akan berbuat demikian.

“Kami sentiasa bermaruah dan akan terus mengekalkan kesopanan kepada rakan dan musuh.”

Ti berkata sepanjang tempoh Dr Mahathir sebagai perdana menteri, MCA menyatakan sokongan kepada beliau apabila DAP melemparkan kepadanya segala macam tuduhan tidak berasas.

“Kami mempertahankan Dr Mahathir. Kami tidak terburu-buru, kita mengikut undang-undang. ”

Beliau menolak serangan terbaru Dr Mahathir sebagai tindakan terdesak pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana hilang hormat daripada Umno.

“Oleh itu, beliau kini mengambil jalan kepada DAP dan ‘kow tow’ kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Beliau (Dr Mahathir) tidak mengatakan perkara baru. Beliau pada dasarnya mengguna semula kenyataan lamanya. Ia adalah pengulangan apa yang dikatakan sebelum ini, tetapi kini beliau mengaitkannya dengan MCA.”

Ti berkata MCA berjuang untuk prinsip dan teras perjuangan sejak penubuhannya, tidak seperti DAP yang memilih jalan yang hipokrit dalam kerjasama dengan Dr Mahathir.

“(Tidak seperti DAP) MCA tidak membuat 22 tahun dakwaan berterusan terhadap Dr Mahathir dan berulang kali mengatakan Malaysia akan menjadi sebuah negara yang gagal.”

Dr Mahathir kecam MCA, puji DAP

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.