Amanah tidak beri kami nilai tambah, kata PAS

Amanah tidak beri kami nilai tambah, kata PAS

Tuan Ibrahim berkata Amanah cuba tarik keahlian daripada parti pembangkang lain.

Tuan-Ibrahim
KUALA LUMPUR: PAS hari ini berkata ia menolak sebarang kerjasama dengan Amanah kerana menganggap parti itu tidak memberikan sebarang keuntungan politik atau nilai tambah kepadanya.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ia berbeza dengan kerjasama politik yang pernah dijalinkan PAS dengan parti lain seperti Semangat 46 dan PKR.

“Apabila Semangat 46 ditubuh, ia tarik orang Umno. PKR tubuh, tarik orang Umno.

“Tetapi Amanah tarik orang PAS. Tarik pembangkang kepada pembangkang tak ada nilai tambah. Ia akan timbulkan polemik,” kata Tuan Ibrahim.

Amanah ditubuhkan pada September tahun lalu, beberapa bulan selepas muktamar PAS yang menyaksikan kemenangan besar puak yang berpihak kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang mahu parti itu mengubah arah haluan dan menekankan pelaksanaan undang-undang Islam.

PAS pernah mengadakan kerjasama dengan Semangat 46, parti serpihan dianggotai bekas ahli Umno dan dipimpin Tengku Razaleigh Hamzah selepas konflik dalaman Umno pada 1988, dan gandingan itu berjaya merampas Kelantan daripada Umno pada pilihan raya 1990.

PAS juga mengadakan kerjasama dengan PKR dan DAP, sebelum memutuskan hubungan dengan DAP sehingga menyebabkan pembubaran Pakatan Rakyat.

Tuan Ibrahim mendakwa Amanah tidak mempunyai sebarang kerusi dan hanya mahu mencari kekuatan menerusi kerjasama.

“Amanah nak kerjasama pasal ia mahu kerusi.

Kami pertahankan kerusi yang ada,” katanya dan menambah PAS selama ini mengorbankan kerusinya setiap kali pilihan raya kepada parti pembangkang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.