
Sutopo Nugroho daripada Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia berkata, pihak berkuasa mengisytiharkan darurat di Aceh, wilayah di utara pulau Sumatera.
“Kami memfokuskan pencarian mangsa dan mereka yang mungkin terselamat,” katanya dalam satu kenyataan di mana agensi itu meletakkan angka korban pada 94 orang.
Menurut saksi, ramai mangsa cedera termasuk mereka yang patah tulang terpaksa dirawat di koridor hospital dan khemah bencana dengan petugas perubatan tidak mencukupi.
Gegaran kuat menyebabkan masjid musnah dan tiang elektrik tumbang.
Nugroho berkata, lebih 1,000 kakitangan, termasuk anggota tentera serta sukarelawan dikerahkan ke kawasan bencana untuk membantu misi mencari dan menyelamat.
Sekurang-kurangnya 5 gegaran susulan berlaku selepas gempa kuat itu dan pihak berkuasa menasihatkan penduduk tidur di luar bangunan kerana bimbang gegaran susulan akan menyebabkan lebih banyak kerosakan dan bangunan runtuh.
Timbalan Presiden memaklumkan media Presiden Indonesia, Joko Widodo dijangka melawat kawasan bencana hari ini.
Gempa kuat berukuran 6.5 pada skala Richter melanda pantai timur wilayah Aceh, selepas 5 pagi semalam (waktu Indonesia), pada kedalaman 17km, kira-kira 170km dari Bandar Aceh.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Nugroho berkata, daerah Pidie Jaya yang mempunyai populasi kira-kira 140,000 penduduk paling teruk terjejas.
Banda Aceh mengalami kemusnahan besar-besaran akibat dilanda gempa kuat berukuran 9.2 pada skala Richter sebelum dibadai tsunami pada 26 Disember 2004 yang mengorbankan lebih 120,000 orang di Aceh.
PAUTAN: