MB Johor persoal dakwaan Dr M mengenai 700,000 ‘warganegara segera’

MB Johor persoal dakwaan Dr M mengenai 700,000 ‘warganegara segera’

Khaled berkata sekiranya dilihat dari segi pemilikan hartanah oleh warga asing sekalipun, jumlah penduduk warga asing di Johor hanyalah kira-kira 120,000 orang.

Khaled-Nordin-mahathir
PETALING JAYA: Menteri besar Johor sekali lagi mempersoalkan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya 700,000 rakyat China akan diberikan kad pengenalan untuk membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya akan datang, dan berkata warga asing hanya memiliki 2% daripada keseluruhan 1.45 juta unit hartanah di Johor.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak 29,218 unit hartanah jenis bertanah dan strata diluluskan untuk warga asing dalam tempoh 3 tahun sejak 2003 hingga 30 November lalu.

“Sekiranya kita mengambil kira 4 orang bagi setiap unit hartanah, berdasarkan anggaran Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic), sekurang-kurangnya 116,872 orang sahaja yang mengisi unit hartanah dimiliki orang asing itu.

“Semua angka ini sangat jauh dan ternyata meleset daripada angka 700,000 seperti didakwa Dr Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mahathir pada Selasa mempertahankan dakwaan lebih 700,000 warga China akan diberi kad pengenalan supaya boleh mengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Bekas perdana menteri itu berkata kes warga asing memiliki kad pengenalan Malaysia pernah berlaku dan bukan sesuatu yang pelik.

Khaled menyifatkan dakwaan Dr Mahathir itu tidak berasas dan berniat jahat untuk mengeliru serta menakut-nakutkan rakyat.

Katanya, kerajaan juga tidak mempunyai dasar yang melayakkan warga asing memiliki hartanah di negara ini memohon kewarganegaraan Malaysia.

“Yang jelas, pemilikan hartanah di Malaysia tidak memberi sebarang keistimewaan dalam proses memohon status kewarganegaraan.

“Dr Mahathir perlu bersikap objektif dengan hakikat membuka peluang untuk pemilikan hartanah oleh warga asing di negara kita sama sekali berbeza dengan memberi kerakyatan Malaysia kepada mereka.”

Beliau turut mencabar Dr Mahathir merujuk dakwaannya 700,000 warga China akan diberikan kewarganegaraan Malaysia kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan ahli Parlimen Pagoh untuk dikemukakan sebagai usul tergempar di Parlimen.

Khaled juga mempersoalkan dakwaan Dr Mahathir mengenai 1.5 juta warga asing di Johor.

Menurutnya, jika Johor Bahru mempunyai 60 projek pembangunan hartanah seperti didakwa Dr Mahathir, ia tidak akan dapat menampung jumlah sebesar itu kerana daerah itu sekadar didiami sejuta penduduk ketika ini.

“Jika mengikut perkiraan Dr Mahathir itu, ia bermakna setiap satu daripada 60 projek hartanah tersebut harus memuatkan sekurang-kurangnya 25,000 penghuni. Jumlah tersebut amat tidak masuk akal. Ini kerana, setiap projek hartanah yang ada lazimnya memuatkan 2,000 hingga 2,500 penghuni sahaja.”

Khaled yang juga pengerusi Barisan Nasional negeri menggesa Dr Mahathir memberi ruang kepada Johor menjayakan matlamat menjadikan negeri berkenaan moden dan maju, bukannya digagalkan dengan permainan politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.