
Wakil rakyat Amanah sepenuh masa itu berkata langkah mengisytiharkan kewangan itu tindakan sukarela yang diilhamkan oleh rakan sejawat, Rafizi Ramli.
Ketika ditanya sama ada wakil rakyat Amanah yang juga akan menuruti langkahnya, Mujahid berkata: “Itu harapan saya.”
Dalam pengisytiharaan bersumpah yang dibuat 7 Disember, Mujahid mengisytiharkan pendapatan bulanan sebanyak RM25,700 sebagai ahli Parlimen. Selepas dipotong cukai, sumbangan dan pinjaman, beliau membawa pulang RM20,156.97.
Daripada jumlah itu, sejumlah RM10,300 diperuntukkan untuk biaya pusat khidmat di Parit Buntar. Biaya termasuk sewa premis, elaun 2 orang pengawai dan derma untuk fakir miskin.

Mujahid memaklumkan beliau hanya membawa pulang RM3,453.91 sebulan selepas semua potongan dan perbelanjaan.
Itu termasuk RM2,246.53 untuk kereta Honda Accord 2.4 VTi-L yang dibeli pada harga RM175,876.70 pada 2013. Beliau juga mengambi pinjaman 6 tahun untuk kenderaan itu.
Beliau turut memiliki sebuah Proton Saga SV 1.3 CVT tahun lepas pada harga RM34,000 tunai untuk anaknya, Nidhal, 25. Mujahid membayar kereta itu menggunakan bayaran undur tarikh daripada gaji wakil rakyat.
Nidhal, seorang siswazah sains politik, bekerja sebagai penyelidik di Penang Institute.
Aset yang dimiliki, iaitu sebuah rumah dan 2 kereta, bernilai RM423,000.
Mujahid turut mengambil pinjaman peribadi RM60,000 daripada Bank Islam, dengan kadar bayaran balik RM2,656.53 sebulan untuk tempoh 2 tahun.
Beliau turut melangsaikan RM24,000 pada 2 kad kredit yang dimiliki dengan bayaran RM1,500 sebulan.
Mujahid turut mempunyai RM6,584 dalam simpanan di 3 bank berbeza.
Beliau memegang jawatan sebagai pengarah di 3 organisasi, di mana beliau hanya menerima bayaran untuk kehadiran.
Mujahid seorang pengarah bukan eksekutif di sebuah syarikat yang menguruskan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang.
Beliau tidak menerima gaji bulanan tetapi dibayar sekiranya menghadiri mesyuarat.
Beliau juga seorang pengarah di Yayasan Islam Pulau Pinang, yang juga tidak membayar gaji bulanan kecuali bayaran sekiranya menghadiri mesyuarat.
Selaku timbalan pengerusi di agensi kerajaan negeri Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang, Mujahid hanya menerima bayaran sekiranya menghadiri mesyuarat.
Isterinya, Zuraida Hussein, 50, seorang pengajar kanan di sekolah menengah kerajaan.
Selain Nidhal, Mujahid turut mempunyai 2 anak perempuan. Amal, 23, bekerja di tadika manakala Manal, 20, sedang mengaji di Beijing Foreign Studies University, China.
Manal, kata Mujahid, menerima biasiswa kerajaan.
Mujahid sebelum ini seorang pensyarah di Universiti Multimedia sebelum menceburi politik pada 1999.