
Sebaliknya, menurut Salahuddin, PAS adalah parti yang tidak memberikan keuntungan politik kepada mana-mana pihak dan kepimpinan atasannya bertanggungjawab terhadap perpecahan dalaman yang berlaku.
“Dan hari ini keyakinan ahli PAS kepada kepimpinan mereka sangat kritikal kerana sikap tidak menentu kepimpinan yang dilihat semakin cenderung kepada Barisan Nasional (BN).
“Jadi saya rasa PAS hanya menunggu saat perpecahan dan akan menjadi parti terpinggir daripada arus politik perdana dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu menolak sebarang kerjasama dengan Amanah kerana menganggap parti itu tidak memberikan sebarang keuntungan politik atau nilai tambah kepadanya.
Tuan Ibrahim berkata, ia berbeza dengan kerjasama politik yang pernah dijalinkan PAS dengan parti lain seperti Semangat 46 dan PKR.
Salahuddin menambah, beliau juga tidak teruja dengan apa dinyatakan Tuan Ibrahim itu kerana apa yang penting, Amanah kini sebahagian daripada Pakatan Harapan.
“Dan minggu depan kita akan menandatangani perjanjian di mana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) pula bersama dengan Pakatan Harapan. Sedangkan PAS terus terpinggir.
“Jadi cubalah Tuan Ibrahim sendiri berfikir parti mana yang tidak ada nilai tambah,” katanya.