Peguam negara tiada hak terlibat pasukan penyiasat, kata peguam

Sankara-Nair

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara, yang merupakan agensi pendakwaan, mesti mengasingkan diri daripada pasukan petugas yang ditubuhkan untuk menyiasat laporan dakwaan kumpulan tempatan dan luar negara terlibat menjatuhkan kerajaan.

Peguam S N Nair berkata jabatan peguam negara yang juga menyelia pendakwaan jenayah tidak harus menjadi sebahagian sebarang pasukan siasatan.

Beliau berkata ia juga tidak diperuntukkan dalam undang-undang bagi Jabatan Peguam Negara “terlibat dalam penyiasatan”.

“Peranan pendakwa raya adalah hanya mengkaji kertas siasatan dan memutuskan sama ada terdapat keterangan mencukupi untuk mendakwa seseorang di bawah undang-undang,” katanya kepada FMT

Nair berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang satu pasukan petugas terdiri daripada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Jabatan Peguam Negara akan menyiasat laporan kumpulan tempatan dan luar negara didakwa terlibat dalam menjatuhkan kerajaan.

Beliau juga berkata pasukan petugas atau mana-mana agensi siasatan tidak sepatutnya mendapatkan bimbingan Jabatan Peguam Negara semasa siasatan dijalankan.

“Semua agensi menyiasat mempunyai pegawai undang-undang dan jabatan sebagai rujukan,” kata peguam itu yang juga bekas pegawai polis.

Nair berkata di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, peguam negara yang juga pendakwa raya, hanya boleh membuat keputusan sama ada untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan sebarang kes jenayah.

“Peguam negara tidak boleh menjadi sebahagian daripada siasatan atau pejabatnya tidak akan dilihat sebagai bebas,” katanya, sambil menambah ini direka untuk memastikan pemisahan kuasa antara pendakwa dan agensi penyiasat.

Pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata 4 badan tempatan – Majlis Peguam, Bersih, Malaysiakini Dot Com, Suaram dan portal berita asing Sarawak Report, dikenal pasti berkomplot menjatuhkan kerajaan melalui cara tidak sah.

Zahid mendakwa kumpulan tempatan dipengaruhi “The Colour Revolution” dan disokong sebuah institusi yang dikenali sebagai Centre for Applied Non-Violent Action Strategies (Canvas).
Katanya, The Colour Revolution mahu mencapai revolusi tanpa keganasan dengan latihan, merancang dan membangunkan strategi untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

Pada 1 November, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) membuat laporan polis dan menyerahkan dokumen “rahsia” 24 halaman kepada polis, yang didakwa menunjukkan penglibatan ahli perniagaan tempatan dan jutawan George Soros membiayai Bersih melalui Open Society Forum, dengan niat menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

PAUTAN:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/12/03/zahid-jawatankuasa-halang-usaha-guling-kerajaan-sehingga-lubang-cacing/