Aktivis siswa didapati bersalah anjur #TangkapMO1

Anis_Syafiqah_Md_Yusof

PETALING JAYA: Aktivis siswa Anis Syafiqah Mohd Yusof hari ini didapati bersalah atas 3 pertuduhan berkenaan menunjuk perasaan oleh Panel Tatatertib Universiti Malaya (UM).

Beliau didapati bersalah: mengadakan, menganjurkan dan memanggil suatu perhimpunan Tangkap Malaysian Official 1; merosakkan dan memudaratkan kepentingan, kesejahteraan serta nama baik UM kerana menyertai himpunan haram; dan merosakkan dan memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam, moral, kesopanan serta tatatertib kerana menyertai himpunan tersebut.

“Setelah selesai sambungan prosiding selama 2 jam, pihak Panel Tatatertib UM telah memutuskan bahawa saya bersalah atas kesemua pertuduhan.”

“Hukuman tatatertib akan dimaklumkan secara bertulis dalam tempoh 14 hari dari sekarang,” kata Anis dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebook.

Beliau berdepan hukuman denda RM200, penggantungan, pemecatan atau amaran.

Pada September, pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia bersama 3 siswa lain diberi surat tunjuk sebab oleh pentadbiran Universiti Malaya susulan pembabitan mereka dalam tunjuk perasaan #TangkapMO1.

#TangkapMO1 bertujuan mendesak polis menyiasat dan menangkap individu misteri yang disebutkan sebagai Malaysian Official 1 dalam saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Saman itu mendakwa berbilion dolar digelapkan daripada 1Malaysia Development Berhad, kes yang DoJ angkat sebagai peristiwa kleptokrasi terbesar dalam sejarah negara itu.

Tiga siswa UM lain yang berdepan tindakan tatatertib ialah Mohamad Luqman Nul Haqim, Muhammad Luqman Hakim Fazli dan Suhail Wan Azahar.

Pada November, siswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Asheeq Ali digantung 1 semester dan didenda RM200 juga kerana terbabit dalam #TangkapMO1.

“Saya sudah menjangka Anis akan didakwa dan didapati bersalah kerana saya tahu ia akan menjadi trend yang dimulakan UKM sebagai duluan untuk universiti lain,” kata Asheeq kepada FMT.

“Saya percaya panel teragak-agak dalam menjatuhkan hukuman pada masa itu juga kerana mereka tidak bebas sepenuhnya. Ada tekanan ke atas panel oleh pihak berkuasa atasan yang mengawal mereka.”

Asheeq juga didakwa memalukan nama baik universiti dan melakukan kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman (2012) kerana menyertai perhimpunan haram.