Pemilik baring bawah kereta halang kenderaan ditunda

Pemilik baring bawah kereta halang kenderaan ditunda

Pemilik kereta yang mendakwa dirinya mempunyai latar belakang politik itu akhirnya ditahan polis.

baring
Kredit: gambar diambil dari portal Sin Chew Daily
PETALING JAYA:
Seorang lelaki berbaring di bawah keretanya bagi menghalang penguat kuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menunda kenderaannya yang diletakkan di tempat letak motosikal.

Menurut laporan Sin Chew Daily, kejadian itu berlaku di Jalan Danby, Bukit Mertajam, semalam.

Lelaki terbabit didakwa adalah pemilik kedai nasi kandar berhampiran yang sering meletakkan keretanya di tempat letak motosikal dan enggan mendengar nasihat penguat kuasa mengalihkan keretanya.

Seorang peniaga berdekatan yang dipetik akhbar itu berkata, penguat kuasa mengunci tayar kereta itu pada jam 10 pagi, namun disebabkan pemilik tidak menghubungi MPSP, mereka bertindak mengunci sebiji lagi tayar kereta itu 2 jam kemudian.

Beliau mendakwa, pemilik kereta yang tidak berpuas hati segera meminta penguat kuasa MPSP membuka kunci tayar itu, namun mereka bertegas beliau perlu membayar kompaun sekurang-kurangnya RM50 terlebih dahulu.

“Disebabkan pemilik kereta enggan membayar kompaun itu, penguat kuasa terpaksa menghubungi trak penunda ke tempat kejadian, tetapi lelaki terbabit bertindak berbaring di bawah keretanya.”

baring-2
Kredit: gambar diambil dari portal sinchew daily

Malah, katanya, lelaki itu turut mendakwa beliau mempunyai latar belakang politik dan menjerit beliau tidak perlu membayar tiket letak kereta atau denda.

Pemilik kereta yang ingkar itu akhirnya ditahan selepas penguat kuasa MPSP menghubungi polis.

Ahli Majlis MPSP, Tan Cheong Heng yang dihubungi Sin Chew Daily mengesahkan penguat kuasa MPSP berdepan kesulitan ketika mereka mengambil tindakan terhadap seorang pemilik kereta yang ingkar semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.