Pindaan enakmen Perlis bergantung keputusan mahkamah, kata peguam

perlis-law

PETALING JAYA: Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2016 oleh Dewan Undangan Negeri Perlis yang membenarkan penukaran unilateral kanak-kanak bawah umur bergantung kepada keputusan Mahkamah Persekutuan, kata peguam.

Fahri Azzat berkata, rakyat Malaysia terpaksa menunggu keputusan mencabar undang-undang dibawa guru tadika M Indira Gandhi, yang memohon membatalkan sijil penukaran agama 3 anaknya.

“Enakmen Perlis akan tidak akan mengikut Perlembagaan jika mahkamah tertinggi membuat keputusan memihak kepada Indira. Undang-undang negeri akan menjadi sah jika rayuannya ditolak,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, prinsip undang-undang yang ditubuhkan Mahkamah Persekutuan akan mengikat negeri.

Fahri berkata demikian sebagai respons kepada tindakan Dewan Undangan Negeri Perlis yang meluluskan pindaan itu dengan majoriti 13-1.

Hanya seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bukan Islam berkecuali kerana tidak bersetuju dengan pindaan pertukaran agama itu.

Fahri, yang berada dalam pasukan peguam Indira di Mahkamah Persekutuan, berkata kerajaan persekutuan membentangkan cadangan meminda Rang Undang-undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 2016 bulan lepas bagi menghalang penukaran agama oleh ibu bapa adalah perkara ke-2.

“Kami tidak tahu sama ada rang undang-undang itu akan diluluskan atau ditarik balik,” katanya.

Di Mahkamah Persekutuan pada 30 Nov, kerajaan persekutuan dan Perak mengambil kedudukan sama dalam kes Indira yang hanya persetujuan salah seorang ibu bapa diperlukan untuk membuat penukaran bagi kanak-kanak Islam bawah umur.

Peguam Kanan Persekutuan Arik Sanusi Yeop Johari berkata, kerajaan melaksanakan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2007 dalam kes Subashini Rajasingam v Saravanan Thangathoray yang salah seorang daripada ibu bapa boleh menukar agama anak.

Arik memberitahu mahkamah, penukaran anak Indira juga selaras dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan, agama kanak-kanak di bawah umur 18 boleh diputuskan ibu bapa.

Bagaimanapun, peguam Indira berhujah terhadap keputusan 2007 itu sebagai “Obiter dictum” atau kenyataan sampingan.

Para peguam berhujah Jadual ke-11 Perlembagaan memperuntukkan dalam mentafsir undang-undang tertinggi di negara ini, “kata-kata dalam bentuk tunggal meliputi bilangan jamak, dan perkataan dalam bilangan jamak termasuklah bilangan tunggal”.

Pasukan peguam Indira berhujah yang pihak berkuasa agama Perak tidak mematuhi prosedur enakmen negeri dengan membenarkan bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah menukar agama anak-anak mereka. Sijil penukaran agama mereka batal dan tidak sah.

Indira membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan memutuskan perkara itu hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Mahkamah Persekutuan menangguhkan penghakiman.

PAUTAN: 

MCA panggil Adun Perlis kerana gagal bantah pindaan enakmen Islam