Semester akhir saya di UM mungkin terbatal, kata Anis

Anis UM

PETALING JAYA: Aktivis siswa Anis Syafiqah Mohd Yusof menyuarakan kebimbangan untuk berdepan dengan hukuman penggantungan pengajian semester akhirnya di Univesiti Malaya (UM).

Beliau berkata demikian, selepas Panel Tatatertib UM mendapatinya bersalah atas 3 pertuduhan yang menganjurkan perhimpunan “Tangkap M01” di Kuala Lumpur pada Ogos.

“Saya tidak nafikan tindakan UM ini menganggu persediaan menghadapi peperiksaan akhir semester tahun ini.

“Apa yang lebih membimbangkan, kemungkinan semester akhir saya tahun ini tidak dikira jika UM menggantung semester saya. Jika begitu, macam mana dengan kehadiran ke kelas dan tugasan akhir saya yang sudah siap?” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, Anis berpandangan tindakan UM dilihat menjadi langkah untuk menakutkan mahasiswa supaya tidak lantang bersuara mengenai masalah negara.

Bagaimanapun, Anis berkata beliau tidak takut dengan tindakan yang akan dikenakan UM.

“Walaupun saya lihat tindakan UM ini cuba menakut-nakutkan saya, tetapi saya tidak takut. Sekiranya digantung, saya akan teruskan perjuangan dan tetap menghabiskan pengajian saya di UM,” katanya.

Anis hari ini didapati bersalah di atas 3 pertuduhan setelah mengadakan, menganjurkan dan memanggil suatu perhimpunan Tangkap Malaysian Official 1; merosakkan dan memudaratkan kepentingan, kesejahteraan serta nama baik UM kerana menyertai himpunan haram; dan merosakkan dan memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam, moral, kesopanan serta tatatertib kerana menyertai himpunan tersebut.

Beliau berdepan hukuman denda RM200, penggantungan, pemecatan atau amaran.

Pada November, siswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Asheeq Ali juga digantung 1 semester dan didenda RM200 juga kerana terbabit dalam #TangkapMO1.

Anis berkata, hari ini beliau diwakili Marcus Lee yang merupakan pelajar fakulti undang-undang dalam menghadapi prosiding pihak Panel Tatatertib UM.

Katanya, UM juga membenarkannya membuat rayuan bagi meringankan hukuman yang akan dikenakan.

“Walaupun belum membuat rayuan secara bertulis tetapi saya dimaklumkan wakil saya (Marcus) untuk dibenarkan membuat rayuan meringankan hukuman yang bakal dikenakan. Ini berikutan prestasi saya yang baik di universiti,” katanya.

Sementara itu, Anis berkata ibu bapanya tetap menyokong perjuangan Anis walaupun berdepan tindakan tatatertib pihak universiti.

“Mereka sentiasa memberi sokongan terhadap apa yang saya lakukan. Ibu bapa saya berharap tindakan UM ini tidak menjejaskan pengajian saya di sini,” katanya.

#TangkapMO1 bertujuan mendesak polis menyiasat dan menangkap individu misteri yang disebutkan sebagai “Malaysian Official 1” dalam saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Saman itu mendakwa berbilion dolar digelapkan daripada 1Malaysia Development Berhad, kes yang DoJ angkat sebagai peristiwa kleptokrasi terbesar dalam sejarah negara itu.

Tiga siswa UM lain yang berdepan tindakan tatatertib ialah Mohamad Luqman Nul Haqim, Muhammad Luqman Hakim Fazli dan Suhail Wan Azahar.

PAUTAN: 

Aktivis siswa didapati bersalah anjur #TangkapMO1