Pemuda Amanah gesa PPBM buat keputusan segera

ppbm-amanah

SHAH ALAM: Selain PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga perlu diberi kata dua agar segera membuat keputusan sama ada menyertai gabungan pembangkang atau sebaliknya, kata Amanah hari ini.

Wakil Pemuda Amanah, Mohd Najib Abdul Rahim berkata demikian susulan kenyataan barisan kepimpinan mereka yang memberi peluang kepada PAS sehingga hujung tahun untuk bersama Pakatan Harapan (PH).

“Patut beri kata 2 juga kepada PPBM sama ada nak sertai kami atau bekas parti presiden (PAS),” katanya yang merujuk kepada bekas parti Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Najib berkata demikian ketika membahaskan ucapan presiden sempena Konvensyen Nasional Amanah 2016 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa memberi tempoh sehingga akhir tahun kepada PAS untuk menentukan pendirian politik mereka bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Najib berkata PH dilihat tidak berhenti berharap agar PAS menyertai pakatan pembangkang, sebaliknya parti Islam itu langsung tidak memberikan sebarang kata putus.

Malah terdapat parti yang masih mengadakan rundingan untuk terus memujuk PAS itu menyertai PH.

“PAS dah kata tak nak tetapi kita terus berharap dan berharap. Kalau kami di peringkat Pemuda, kami kata tak payahlah nak runding. Kita teruskan sahaja,” katanya.

Sebelum ini, PPBM dilaporkan mengadakan pertemuan dengan PAS sebagai usaha memujuk parti itu untuk bersama dalam gabungan pembangkang yang lain.

Terbaharu, Ketua Penerangan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, PAS bersedia mempertimbangkan pertandingan 3 penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya ia memberi keuntungan kepada parti Islam itu.

Kenyataan itu sekali gus memberi gambaran harapan PAS untuk bersama PH semakin tipis.

PAUTAN: 

Pertandingan 2 penjuru belum tentu untungkan PAS