6 sekeluarga maut, 4 cedera MPV terbabas di LPT2

polis_kemalangan_600

KUALA TERENGGANU: Percutian 10 anggota keluarga menjadi episod ngeri apabila 6 daripada mereka termasuk 3 kanak-kanak maut setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki terbabas di Kilometer 288.6 di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) hari ini.

Kemalangan selepas susur Tol Chukai itu berlaku kira-kira 5.30 petang tadi dan turut menyebabkan 4 yang lain cedera.

Mereka yang maut di tempat kejadian ialah Ahmad Razi Abd Rahman, 63, (abang pemandu), Pauziyah Awang, 56 (isteri Razi), Quratulnisa, 11 dan Ahmad Nijat, 9, (kedua-duanya anak pemandu) serta Sofea Adriana Shahruddin, 7, yang merupakan cucu Razi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman DSP Normansah Din berkata isteri pemandu, Mahani Ngah, 42, pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kemaman.

Pemandu MPV Hyundai Starex itu, Ahmad Nasal Abd Rahman, 52, cedera ringan manakala 3 lagi anaknya iaitu Ahmad Mukriz, 3, Ahmad Shakir, 12, dan Quratul Ain, 14, cedera parah dan kesemua mereka dihantar ke hospital oleh orang awam, katanya dalam sidang media di sini, malam ini.

Normansah berkata berikutan rempuhan kuat kemalangan itu, 3 daripada mangsa tercampak keluar daripada kenderaan itu.
Enjin MPV berkenaan juga terkeluar daripada ruangnya, kata beliau.

Menurutnya mereka sekeluarga datang dari Kedah untuk menghadiri kenduri kahwin di Felda Jengka, Pahang sebelum meneruskan perjalanan ke Universiti Malaysia Terengganu untuk melawat adik Nazal dan Razi.

Kejadian itu dipercayai berlaku akibat tayar kiri hadapan MPV itu pancit menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan sebelum ia terbabas ke pembahagi jalan tengah lalu terlanggar tiang jambatan, katanya.

“Mukriz dan Quratul Ain akan dihantar segera ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut,”katanya.

Sementara itu, seorang anggota keluarga mangsa yang dihubungi berkata keluarga itu sempat bercuti di Bukit Tinggi, Pahang sebelum menuju ke Kuala Terengganu untuk menemui anggota keluarga lain.

Erma Idayu Mohd Yusop berkata bapa saudaranya, Razi, pesara kerajaan dan isterinya Pauziah menetap di Shah Alam manakala anggota keluarga lain menetap di Kodiang, Kedah.

“Pihak keluarga kami akan ke Shah Alam bagi menguruskan jenazah mereka,” kata Erma Idayu yang juga pemberita sambilan Bernama di Biro Pulau Pinang.