Amanah tak kisah diketepikan PAS

mat-sabu_amanah_pas_600

SHAH ALAM: Amanah berkata ia tidak bimbang diketepikan berikutan rancangan PAS untuk mengadakan acara ceramah bersama dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) esok.

“Apa sahaja yang berlaku malam esok, kami akan dimaklumkan,” kata Presiden Amanah Mohamad Sabu pada hari terakhir konvensyen parti itu, hari ini.

Walaupun PAS bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah, tetapi ia masih mengekalkan hubungan dengan PKR.

Parti itu juga belum menyatakan sama ada ia akan bekerjasama dengan PPBM, walaupun menerima sindiran daripada pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata pemimpin PAS berada dalam keadaan keliru kerana masih teragak-agak untuk menyertai pakatan pembangkang bagi memastikan pertandingan satu lawan satu menentang Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

PAS Selangor dikatakan menjemput presiden PKR dan PPBM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk berucap di majlis ceramahnya di Paya Jaras.

Langkah itu dilihat oleh pemerhati sebagai satu usaha oleh PAS untuk membentuk blok ke-3 di negeri ini bagi memastikan ia masih boleh menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor sekiranya Pakatan kembali berkuasa pada pilihan raya umum akan datang.

Pemuda Amanah gesa PPBM buat keputusan segera