Dr M harus sokong Iskandar Malaysia, bukan hentam, kata Shahrir Samad

Shahrir-Samad_mahathir_Iskandar-Malaysia_600

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad harus menyokong pembangunan Iskandar Malaysia kerana projek itu akan memberikan Malaysia kelebihan daya saing berbanding Singapura dari segi pelaburan asing berimpak tinggi, kata pemimpin veteran Umno.

Tan Sri Shahrir Samad, ahli Parlimen Johor Bahru, menegaskan memandangkan Dr Mahathir sentiasa curiga dengan Singapura, beliau perlu menyokong rancangan kerajaan terhadap projek Iskandar Malaysia yang akan menjadikan negara ini lebih berdaya saing berbanding jiran selatan.

“Projek ini akan mengurangkan kebergantungan kepada Singapura dan sebenarnya menjadikan kita persaingan mereka,” kata beliau yang dilaporkan akhbar Sinar Harian.

Dalam tulisan di blognya awal minggu ini, Dr Mahathir berkata ia tidak masuk akal bagi rakyat Johor berpindah ke kediaman mewah yang dibina di wilayah Iskandar Malaysia yang boleh menampung 1.5 juta orang.

Beliau berkata, ia juga sesuatu yang tidak masuk akal dengan dakwaan seramai 1.5 juta warga asing turut tinggal di Johor Bahru.

Menurut Shahrir, kenyataan Dr Mahathir itu didorong kepentingan politik sendiri, dan usaha untuk mendapatkan sokongan rakyat Johor terhadap parti politik barunya, Parti Bersatu Pribumi Malaysia.

“Pada peringkat awal projek Iskandar, Dr Mahathir mendakwa rakyat Johor akan diketepikan apabila Singapura mengambil alih Johor Bahru.

“Sekarang beliau mengatakan BN akan mengambil peluang menawarkan kewarganegaraan kepada orang China yang datang ke sini, supaya mereka boleh mengundi.

“Ini hanya helah politik,” kata Shahrir.

Shahrir juga menolak dakwaan hartanah di Iskandar Malaysia akan dimiliki orang asing, berkata kerajaan negeri hanya melaksanakan dasar jualan yang dilaksanakan sejak pentadbiran Dr Mahathir.

“Sebaik sahaja kawasan ini dibangunkan sepenuhnya, kita tidak akan melepaskan tanah atau hartanah kepada Singapura. Dr Mahathir sendiri pernah membenarkan warga asing membeli hartanah di Malaysia (pada satu masa),” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/12/08/mb-johor-persoal-dakwaan-dr-m-mengenai-700000-warganegara-segera/