Turki berkabung, angka korban meningkat 38 orang

Turki berkabung, angka korban meningkat 38 orang

Perdana menteri Turki mengarahkan bendera dikibar separuh tiang manakala p menangguhkan lawatannya ke Kazakhstan.

Turki_bom_600
ISTANBUL:
Turki berkabung sehari pada Ahad selepas pengeboman 2 serang bom yang menjadikan polis sebagai sasaran berhampiran stadium gergasi bola sepak Besiktas, Istanbul dan mengorbankan 38 nyawa.

Sebuah bom kereta diletupkan di luar stadium bola sepak Vodafone Arena di tepi Bosphorus selepas perlawanan Super Lig antara Besiktas dan Bursaspor manakala kurang satu minit kemudian seorang penyerang berani mati menyerang taman berhampiran.

Pihak berkuasa tidak mengatakan siapa dalang dalam kejadian itu yang merupakan serangan terbaru dalam masa setahun yang menyaksikan Istanbul dan bandar lain digegarkan dengan beberapa siri serangan yang didakwa dilakukan kumpulan militan Islamic State (IS) dan Kurdish.

Perdana Menteri Binali Yildirim mengarahkan bendera dikibar separuh tiang manakala Presiden Recep Tayyip Erdogan menangguhkan lawatannya ke Kazakhstan, agensi berita Anadolu melaporkan.

Dua puluh tujuh daripada mereka yang terkorban adalah polis dan 2 orang awam, Menteri Dalam Negeri Turki Suleyman Soylu memaklumkan 10 suspek ditahan.

Soylu berkata letupan pertama berpunca daripada bom kereta di luar stadium bola sepak Besiktas dan diikuti 45 saat kemudian satu lagi serangan berdekatan Taman Macka yang menyaksikan seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di tengah-tengah pegawai polis.

Pejabat Gabenor Istanbul berkata 155 orang cedera, 19 daripada mereka berada di unit rawatan rapi, lapor saluran televisyen swasta NTV.

Satu pasukan forensik pada Ahad memeriksa stadium dan taman untuk mengumpul bukti, kata seorang wartawan AFP. Sementara trak majlis perbandaran membersihkan kawasan itu.

“Satu tindakan ganas disasarkan terhadap pasukan keselamatan dan rakyat kita di Besiktas malam ini,” kata Erdogan dalam satu kenyataan selepas serangan itu.

Erdogan berkata letupan itu dirancang untuk melibatkan jumlah mangsa seramai yang mungkin.

“Sekali lagi kami menyaksikan keganasan berlaku di Istanbul yang meruntuhkan nilai dan moral,” katanya.

Berdiri teguh

Saluran televisyen TRT menyiarkan imej rangka kereta, terbakar dengan perkhidmatan kecemasan berkerumun di sekitar tempat kejadian di luar stadium sukan.

Rakaman lain menunjukkan kenderaan polis rosak teruk, manakala saksi berkata letupan tersebut menyebabkan tingkat rumah berdekatan berkecai.

“Saya mendengar 2 letupan dalam masa kurang satu minit, diikuti bunyi tembakan,” kata seorang saksi kepada AFP yang tidak mahu namanya disiarkan.

Besiktas adalah salah sebuah kelab bola sepak paling popular di Istanbul, dan peminatnya dikenali dengan pandangan anti-pertubuhan dan memainkan peranan besar dalam protes terhadap Erdogan pada 2013, yang ketika itu menjadi perdana menteri.

Kelab itu berkata di kalangan mereka yang terbunuh adalah Vefa Karakurdu, seorang pegawai kanan polis yang bertanggungjawab bagi keselamatan pada perlawanan itu yang juga ahli kongres, dan Tunc Uncu yang bekerja di kedai barangan rasminya.

Besiktas dalam satu kenyataan berikrar “bertindak tegas terhadap penyerang yang tidak pernah mencapai matlamat mereka.”

Kejadian itu juga berlaku itu kira-kira satu kilometer (0.6 batu) dari Taksim Square yang sibuk dan menjadi tumpuan pelancong.

Kerajaan melarang penyiaran rakaman serangan itu, yang kini menjadi kebiasaan selepas insiden besar berlaku di negara ini.

Keganasan akan kalah

Tidak ada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan Sabtu lalu.

Dalam kenyataannya, Erdogan berkata “nama atau kaedah organisasi pengganas yang melakukan serangan keji” tidak penting.

“Tiada siapa perlu ragu-ragu kita akan mengalahkan keganasan, kumpulan pengganas, pengganas dan sudah tentu kuasa di belakang mereka, dengan pertolongan Tuhan,” katanya.

Pada Jun, 47 orang terbunuh dalam kejadian pengeboman berani mati dan serangan tembakan di lapangan terbang Ataturk Istanbul, dengan pihak berkuasa menyalahkan IS.

Seramai 57 orang, 34 daripadanya kanak-kanak dibunuh pada Ogos dalam serangan berani mati oleh pengebom dikaitkan dengan IS di satu majlis perkahwinan Kurdish di bandar tenggara Gaziantep.

Bagaimanapun, terdapat juga pengeboman maut yang didakwa dilakukan Kurdistan Freedom Falcons (TAK), yang dilihat sebagai kumpulan serpihan Kurdistan Workers Party (PKK).

Ketua Nato Jen Stoltenberg mengutuk “tindakan ngeri keganasan” di Istanbul, sambil menambah: “Kami bersatu dalam solidariti dengan sekutu kami Turki. Kami tetap bertekad untuk memerangi keganasan dalam semua bentuk.”

Kedutaan Amerika di Turki menulis di Twitter “Hati dan doa kami bersama rakyat #Istanbul malam ini.”

15 maut, 69 cedera dalam 2 serangan bom di Istanbul

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.