11,000 rakyat Kelantan dijangka iringi Agong baharu ke lapangan terbang

11,000 rakyat Kelantan dijangka iringi Agong baharu ke lapangan terbang

Sultan Muhammad V dijadual berlepas ke Istana Negara di Kuala Lumpur dengan pesawat khas pada 8.30 pagi esok.

sultan-muhamad-v
KOTA BHARU:
Rakyat Kelantan berbilang kaum akan berbaris di sepanjang jalan antara Istana Negeri, Kubang Kerian dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa sempena keberangkatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke Istana Negara di Kuala Lumpur, esok.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir berkata, lebih 11,000 orang dijangka berada di sepanjang laluan 14km itu seawal 7 pagi, namun pada hemah beliau, bilangan itu akan bertambah.

“Dari Istana Negeri, kenderaan yang dinaiki baginda akan melalui Jalan Sultan Yahya Petra, Jalan Pekeliling dan Jalan Tok Guru seterusnya ke lapangan terbang,” katanya kepada Bernama.

Nik Pakheruddin berkata, persembahan kebudayaan tradisional akan diadakan di 11 lokasi sepanjang laluan itu.

Beliau berkata, istiadat itu akan bermula dengan keberangkatan tiba Sultan Muhammad V di Istana Negeri pada 7.15 pagi untuk memeriksa kawalan kehormat merangkumi 107 anggota dan 3 pegawai Rejimen Artileri Diraja.

Nik Pakheruddin berkata, baginda dijadual berlepas ke Kuala Lumpur dengan pesawat khas pada 8.30 pagi.

Beliau berkata, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed akan bertindak sebagai menteri pengiring.

Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menamatkan tempoh pemerintahan sebagai ketua negara buat kali kedua hari ini dan digantikan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa esok bagi tempoh 5 tahun.

Sultan Kelantan dilantik Yang di-Pertuan Agong ke-15

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.