
Ini kerana kata Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan, kira-kira 147,000 pekerja Myanmar bekerja secara sah di Malaysia, ketika ini.
“Kalau larangan itu diteruskan, bermakna 147,000 orang yang ada di Malaysia sekarang lambat laun akan tamat permitnya dan mereka akan dihantar pulang serta kita juga tidak mendapat pekerja baru.
“Sudah tentu itu akan menimbulkan masalah kepada industri terlibat,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Minggu lalu, Kementerian Imigresen Myanmar menerusi satu kenyataan mengumumkan pemberhentian pengeluaran lesen kepada rakyatnya yang mahu bekerja di Malaysia, berkuat kuasa 6 Disember lalu.
Ia susulan ketegangan hubungan Malaysia dan Myanmar, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengecam Aung San Suu Kyi membenarkan “pemusnahan bangsa” dalam Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Kuala Lumpur, pada 4 Disember lalu.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia mengalu-alukan keputusan kerajaan Myanmar melarang rakyatnya bekerja di negara ini.
Bagaimanapun, Shamsuddin tidak bersetuju dengan kenyataan Zahid yang larangan Yangon itu tidak akan memberi kesan langsung kepada negara.
Beliau berkata, walaupun kerajaan pernah menyatakan pembekuan pekerja asing baharu sudah ditarik balik, namun banyak industri mendakwa mereka masih menghadapi masalah mendapatkan tenaga kerja asing.
“Kalau ini berterusan, sudah tentu industri yang sekarang ini mengambil pekerja asing dari Myanmar tidak akan dapat pekerja baharu dari Myanmar.
“Dan mereka terpaksa memandang kepada negara lain yang keadaannya pun tidak begitu pasti, terutamanya bila kita lihat nilai mata wang kita sekarang ini agak menurun dibandingkan negara pekerja itu datang.
“Sebagai contoh, Bangladesh dulu RM1 bersamaan 30 hingga 35 Taka, tapi sekarang ini sudah menurun kepada 17 hingga 20 Taka. Jadi, di situ banyak penurunan dan kita menghadapi masalah untuk menarik pekerja datang ke Malaysia sebenarnya,” katanya.
Putrajaya terima keputusan Myanmar larang rakyat bekerja di Malaysia