
Serpihan itu dilabel sebagai “hampir pasti” datang daripada pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines berkenaan ditemui di pantai timur Afrika, beberapa bulan lalu mendorong kepada pencarian yang luar kebiasaan itu.
MH370 hilang pada tengah malam 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Jiang Hui, 44, dari China yang kehilangan ibunya masih tidak berputus asa untuk mencari punca mengapa 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu hilang tanpa jejak.
“Ketika saya terjumpa serpihan pada Rabu lalu, saya sangat teruja dan sedih.
“Setiap kali kami menemui serpihan seperti itu, saya fikir kami semakin hampir dengan kebenaran. Itu yang saya harapkan,” katanya.
Lokasi atau sebab ia terhempas tidak diketahui, menyebabkan tercetusnya pelbagai teori konspirasi.
Waris MH370 sudah mencari di beberapa bahagian di Madagascar dengan berjalan kaki, kenderaan pacuan empat roda dan basikal.
Mereka ditemani Blaine Gibson, seorang penyiasat amatur dari Amerika Syarikat yang juga berusaha untuk menyiasat apa yang terjadi kepada MH370.
Sepanjang 2 hari pencarian, pasukan itu menemui serpihan di Nosy Boraha, pulau di sebelah pantai timur. Selepas penemuan itu pada hari kedua, seorang wanita Malaysia yang kehilangan suaminya dalam MH370 menangis.
Tetapi penemuan itu membuatkan Hui semakin tekad.
“Saya rasa perjalanan kami ke Madagascar wajar,” katanya sebelum kumpulan itu pulang pada Ahad, bimbang penemuan itu hanya titik permulaan dalam perjalanan mencari petunjuk, kerana fragmen itu mungkin daripada bot, bukan pesawat.
Penemuan itu tidak mempunyai ciri yang boleh dikenal pasti dan mereka menyerahkannya kepada pihak berkuasa sebelum dihantar ke Malaysia untuk analisis dan proses itu boleh mengambil masa berbulan-bulan.
“Saya buat banyak kajian mengenai serpihan pesawat untuk tahu bagaimana rupanya. Saya tahu apa yang patut saya cari,” katanya.
Sesetengah ahli keluarga ke Madagascar kerana terdesak dan kecewa dengan perkembangan yang perlahan dalam pencarian serta siasatan rasmi.
Dipercayai MH370 terhempas ke dalam Lautan Hindi, tetapi pencarian laut dalam di pantai barat Australia gagal menemui sebarang serpihan pun.
“Saya lebih suka jika pihak berkuasa yang buat, bukan sekadar bergantung pada pelancong atau nelayan untuk menemui serpihan itu secara tak sengaja,” kata Hui.
Di Madagascar, beberapa pegawai rasmi dari kerajaan Malaysia turut serta bersama waris mangsa MH370.
“Lebih besar serpihannya, lebih besar peluang kita mengenal pasti asalnya,” kata Aslam Basha Khan dari Kementerian Pengangkutan Malaysia.
“Tetapi kadangkala kami tidak dapat mengaitkannya terus dengan pesawat.”
Waris mangsa juga memanfaatkan perjalanan itu untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat setempat mengenai pencarian itu.
Di Nosy Boraha, seorang pemandu pelancong Cyriak Rakotosoa yang menemui serpihan pada Oktober, menjadi rakan mereka.
“Saya beritahu nelayan jika jumpa sesuatu hampir sama, mereka patut bawa ke hotel. Tetapi biasanya jika jumpa, mereka guna untuk baiki bumbung,” katanya.