Dakwa peguam Khairuddin beri mesej salah

matthias-chang-1

PUTRAJAYA: Majlis Peguam Malaysia hari ini menyorot perhatian mahkamah kepada 18,000 peguam yang akan teragak-agak mewakili anak guam dengan baik sekiranya mereka diganggu pihak berkuasa.

Peguam kanan Tommy Thomas memberitahu Mahkamah Rayuan yang mereka boleh mewakili mana-mana kes, walau sehina mana pun anak guam mereka, mengikut Perlembagaan Persekutusan, Akta Profesion Undang-undang dan peraturan profesion guaman.

“Oleh itu mereka tidak boleh didakwa dengan pertuduhan jenayah kerana ia akan menimbulkan rasa seram dalam kalangan mereka,” kata Tommy.

Tambahnya antara matlamat badan peguam adalah menegakkan hukum tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Beliau berkata demikian bagi pihak majlis dalam rayuan kerajaan terhadap ikat jamin pengkritik isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang.

Mereka dituduh cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara, dengan membuat laporan terhadap 1MDB dengan pihak berkuasa di Perancis, Hong Kong, Singapura, United Kingdom dan Switzerland.

Kerajaan berpendapat tuduhan yang dihadapi mereka di bawah Kanun Keseksaan adalah kesalahan keselamatan, maka mereka perlu ditahan sementara menunggu selesai perbicaraan.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan mereka kekal bebas dengan ikat jamin.

Tommy berkata adakalanya peguam yang mengendalikan kes jenayah mengarang laporan polis dan menemani anak guam ke balai polis untuk membuat aduan.

“Ia adalah punca pendapatan amalan guaman tetapi bukan suatu kesalahan,” katanya, merujuk kepada penangkapan Matthias pada 8 Oktober tahun lalu dan pendakwaan 4 hari kemudian.

Matthias menemani Khairuddin yang mahu membuat aduan agensi siasatan dan pendakwaan tempatan dan luar negara berhubung isu 1MDB.

Tommy berhujah 1MDB merupakan jenayah kolar putih dan Matthias cuma menjalankan tugas.

Beliau menambah Hakim Tan Sri Arifin Zakaria dalam satu keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2012 memutuskan orang awam perlu digalakkan membuat laporan polis bagi tujuan siasatan.

“Laporan polis merupakan dokumen terlindung dan peguam tidak sepatutnya terima akibatnya,” katanya.

Tommy berkata Arifin dalam keputusan itu berkata mangsa mempunyai remedi kerana tindakan boleh diambil terhadap mereka yang membuat laporan polis palsu.