PETALING JAYA: Ahli Parlimen Nurul Izzah, Johari Abdul dan Rafizi Ramli, serta penyair Datuk A Samad Said memilih untuk menjawab soalan polis berkaitan Bersih 5 di mahkamah.
Mereka berempat dipanggil ke ibu pejabat polis daerah Sentul hari ini untuk disoal mengenai tunjuk perasaan Bersih 5 pada 19 November lepas.
Johari, yang merupakan ahli Parlimen Sungai Petani berkata mereka disoal mengenai pembabitan mereka dalam tunjuk perasaan itu.
“Mereka tanya banyak soalan, sekitar Bersih dan pembabitan kami dalan Bersih 5. Kami berempat pilih untuk jawab mereka di mahkamah,” kata Johari kepada pemberita.
Johari berkata tindakan polis seterusnya bergantung kepada keputusan peguam negara.
“Mereka mungkin hantar keterangan kami kepada peguam negara, dan peguam negara akan pertimbangkan kalau ada kes,” katanya.
Bagaimanapun, Rafizi mengingatkan sebarang cubaan untuk mendakwa mereka akan mengundang kritikan orang ramai memandangkan pemimpin Gerakan Baju Merah Datuk Jamal Yunos belum didakwa.
“Sebarang tindakan yang berakhir dengan dakwaan di mahkamah akan dilihat sebagai suatu tindakan politik kerana Jamal dan kawan-kawan dia semua masih belum didakwa.
“Saya rasa perkara ini sesuatu yang peguam negara kena fikirkan sebaik mungkin.
“Orang ramai tidak akan memihak kepada mereka sekiranya mereka yang terlibat dalam Bersih 5 didakwa di mahkamah,” kata Rafizi.
Sementara itu, Samad rasa amat dihargai kerana puisi sudah menjadi senjata.
“Apa yang saya lakukan dalam Bersih ialah hanya membaca puisi yang memperjuangkan hak asasi.
“Tetapi itu pun dirasakan seperti ancaman.
“Jadi saya memang merasakan bangga kerana saya sempat meningkatkan nilai dan taraf sastera ke tingkat yang mengancam.”