PAS: Kami bukan anak tangga orang pijak menang pilihan raya

PAS: Kami bukan anak tangga orang pijak menang pilihan raya

Tuan Ibrahim mengulangi pendirian PAS tidak akan menyertai Pakatan Harapan, sebaliknya mereka sudah menjalin kerjasama rasmi dengan PKR, manakala hubungan dengan PPBM masih dalam perbincangan.

semeja
PAYA JARAS:
PAS tidak akan berkompromi dengan parti pembangkang lain dalam isu pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi mengelakkan sejarah mereka dipijak berulang akibat terlalu berlembut dengan sekutunya, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, PAS bukan parti anak tangga untuk dijadikan alat pihak lain bagi memenangi pilihan raya.

“Kita bukan anak tangga untuk orang pijak dan naik ke atas. Minta maaf, kita juga tidak akan jadi batu loncatan untuk orang naik pijak kepala kita. Kita hanya bekerjasama dengan parti yang menghormati kita,” katanya ketika berucap di Ceramah Mega Rakyat bersama PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) malam tadi.

Sehubungan itu, timbalan presiden PAS itu berkata, mereka tetap akan menurunkan calon di semua kerusi yang ditandingi mereka pada PRU13, tidak kira kerusi yang mereka menangi atau kalah.

“Setiap kali kita bertanding, PAS korbankan kerusi PAS, tapi yang lepas biarlah lepas.

“Kali ini tidak ada lagi kompromi, soal kerusi PAS (parti pembangkang lain) kena hormat. Kamu boleh bincang, mereka boleh bincang, PAS tidak ambil semua kerusi dan kita bertanding dalam 70 kerusi dulu,” katanya kepada pemberita selepas ceramah itu.

Acara mega PAS di Paya Jaras itu menyaksikan pemimpin parti Islam itu berkongsi pentas dengan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan wakil Presiden PKR, Sivarasa Rasiah dengan disaksikan lebih 1,000 penyokong.

Kehadiran pimpinan tertinggi 3 parti pembangkang itu dinanti-nantikan selepas Setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman dilaporkan berkata, ceramah mega itu antara usaha mendampingi PKR dan PPBM bagi membentuk blok politik berasingan tanpa pembabitan musuh ketatnya, Amanah dan DAP.

Mengulas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara PPBM dan Pakatan Harapan petang ini, Tuan Ibrahim berkata, PPBM bebas bekerjasama dengan mana-mana parti, namun PAS tetap tidak akan menyertai gabungan itu.

“PAS tidak akan bersama, sebab itu saya kata walaupun PAS tidak bersama Pakatan Harapan, tidak bermakna tidak ada muafakat. Cuma kita minta mereka kena hormat kerusi PAS dan dasar parti, kita tegaskan soal satu-lawan-satu, kalau kita duduk dalam Pakatan Harapan, tetapi tidak ada rasa hormat tidak ada guna kita bersama.

“Kita juga tidak ada hubungan dengan DAP dan Amanah, soal PPBM nak jadi jambatan perhubungan itu terpulang kepada PPBM.

“Bagi PAS, setakat ini kita mempunyai kerjasama rasmi dengan PKR dan PPBM kita dalam perbincangan dan PAS tegaskan kita bekerjasama dengan semua parti yang menghormati dasar perjuangan kita,” katanya.

PAS sebelum ini menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP dan Amanah, namun mereka belum memutuskan sama ada mahu membuat perjanjian dengan parti pembangkang lain bagi memastikan pertandingan 2 penjuru menentang Barisan Nasional pada PRU14.

PPBM baru-baru ini menyuarakan hasrat menyertai Pakatan Harapan, gabungan politik PKR, DAP dan Amanah yang ditubuhkan selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP tahun lalu.

PAUTAN:

Acara mega PAS: Wan Azizah tidak hadir, hantar ahli majlis pimpinan

PAS akui cuba tubuh blok lain di Selangor tanpa Amanah, DAP

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.